Mansuh AUKU jangan jadi modal raih pengaruh politik mahasiswa

LocalPolitics
18 Aug 2026 • 8:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Mansuh AUKU jangan jadi modal raih pengaruh politik mahasiswa

MARAN: Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) tidak seharusnya membuka ruang kepada mana-mana parti politik memanfaatkan kebebasan mahasiswa untuk mengukuhkan pengaruh politik masing-masing.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, reformasi pendidikan tinggi perlu benar-benar membebaskan pemikiran mahasiswa, bukannya mewujudkan ruang baharu untuk parti tertentu mendapatkan pengaruh dan sokongan politik dalam kalangan golongan berkenaan.

Katanya, mahasiswa perlu diberikan kebebasan mendengar pandangan semua parti politik supaya mereka dapat membuat penilaian sendiri tanpa dipengaruhi ataupun dikawal oleh mana-mana pihak.

“Masanya mahasiswa dibuka pemikirannya, bebas untuk mendengar ceramah dan pandangan parti-parti politik dalam universiti. Mana-mana parti masuklah untuk menyampaikan pandangan. Nak jadi ahli parti atau tidak, itu hak rakyat Malaysia yang layak mengundi,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini.

Tuan Ibrahim berkata, langkah itu penting selepas umur mengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun kerana mahasiswa kini bukan sahaja mempunyai hak mengundi, malah layak menjadi calon pilihan raya.

Katanya, mereka juga berpotensi dilantik memegang jawatan dalam Kabinet sekiranya memenangi pilihan raya, sekali gus menjadikan pendedahan politik secara terbuka dan seimbang amat penting.

Beliau berkata, Pas menyokong pemansuhan atau semakan semula AUKU, namun akan memantau pelaksanaannya bagi memastikan perubahan itu memberi manfaat kepada semua pihak dan tidak hanya menguntungkan parti tertentu.

“Kita menyokong pemansuhan akta ini dan memantau sejauh mana pemansuhan itu dapat memberi manfaat kepada semua parti politik yang ada. Parti kita akan teliti satu persatu. Sebarang akta perlu dibawa ke Parlimen dan dibahas,” katanya.

Tuan Ibrahim turut berpandangan, campur tangan politik yang keterlaluan dalam institusi pengajian tinggi perlu diperbetul supaya perkembangan akademik dan kenaikan pangkat lebih berasaskan kepakaran serta keilmuan.

Katanya, sekatan tertentu yang pernah dikenakan terhadap mahasiswa menyebabkan AUKU dilihat sebagai penghalang kepada perkembangan minda dan ilmu di universiti.

Beliau berkata, reformasi pendidikan tinggi perlu memastikan kampus menjadi ruang pertembungan idea dan ilmu secara terbuka, bukannya medan untuk mana-mana parti membina pengaruh politik.

“Mahasiswa yang terdedah kepada pelbagai pandangan akan lebih matang dalam membuat pertimbangan politik serta menentukan masa depan negara,” katanya. – UTUSAN

The post Mansuh AUKU jangan jadi modal raih pengaruh politik mahasiswa appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved