Sokong pemansuhan AUKU, tetapi kerajaan kena tepati janji, jangan hanya retorik kosong

LocalPolitics
18 Aug 2026 • 12:18 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

auku

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Kongres Nasional KEADILAN hari ini mengenai pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Walau bagaimanapun, kami menegaskan bahawa pengumuman ini tidak boleh sekali lagi menjadi retorik kosong, sebaliknya ia mestilah satu reformasi sebenar yang mempunyai garis masa yang jelas serta tindakan konkrit.

Namun PSM melahirkan rasa kesal dan bantahan keras terhadap kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Pemangku Pengerusi KEADILAN Melaka, Adam Adli, yang menyifatkan pengumuman ini sebagai “hadiah perjuangan” kepada mahasiswa yang selama ini memperjuangkan reformasi.

Kenyataan ini adalah munafik dan tidak wajar. Pengumuman pemansuhan AUKU oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim bukanlah lahir daripada keprihatinan yang ikhlas terhadap hak mahasiswa, sebaliknya ia adalah tindak balas politik yang terpaksa dilakukan selepas kekalahan teruk di pilihan raya negeri Sabah, Johor dan Negeri Sembilan.

Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan telah berulang kali berjanji untuk membatalkan AUKU. Namun setelah bertahun-tahun berlalu, janji tersebut tidak pernah ditunaikan. Pertubuhan mahasiswa, masyarakat sivil dan NGO telah berulang kali mengecam kerajaan kerana ketiadaan niat untuk memansuhkan AUKU.

Kini, sekiranya bukan kerana kekalahan berturut-turut di beberapa pilihan raya negeri dan pilihan raya umum yang semakin hampir, adakah Perdana Menteri Anwar dan kerajaan masih mempunyai kesunggugan politik untuk memacu agenda reformasi pemansuhan AUKU?

Hal ini amat membimbangkan kami bahawa pengumuman ini mungkin sekali lagi hanya menjadi retorik kosong sekadar untuk mendapat undi di pilihan raya yang akan datang, tetapi tidak akan direalisasikan.

Rakyat Mengalu-alukan Reformasi, Tetapi Kerajaan Perlu Belajar Daripada Pengajaran Pahit

Walau bagaimanapun, rakyat mengalu-alukan pembatalan AUKU. Akta ini telah lama mengekang hak penyertaan politik mahasiswa dan sudah tidak relevan pada zaman ini.

PSM menyeru Kerajaan Perpaduan agar mengambil pengajaran daripada kekalahan pilihan raya yang lalu, dengan segera merealisasikan agenda reformasi ini dengan tindakan konkrit, termasuk mengumumkan garis masa yang jelas serta cadangan undang-undang pengganti bagi pembatalan AUKU.

PSM akan terus memantau kerajaan bagi memastikan janji ini tidak sekadar menjadi omongan kosong.

Chong Yee Shan, Pengarah Biro Propaganda PSM

The post Sokong pemansuhan AUKU, tetapi kerajaan kena tepati janji, jangan hanya retorik kosong appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved