
FILEM seram thriller berasaskan Sabah, Mantera sudah memperoleh perjanjian pengedaran di seluruh negara dengan Skop Productions iaitu sebuah syarikat produksi terkenal di Malaysia sekali gus menandakan pencapaian penting bagi industri perfileman di negeri ini.
Perjanjian itu yang ditandatangani antara pengarah Mantera Chester Pang dan Pengarah Urusan Skop Productions Datuk Yusof Haslam bakal menyaksikan filem berkenaan ditayangkan di 50 pawagam di seluruh negara bermula 24 April dengan potensi untuk diperluaskan menjelang pelancarannya.
Diterbitkan oleh Pro-Merge Vision yang berpangkalan di Kota Kinabalu, Mantera dibuat dengan bajet RM1.2 juta dan menggabungkan elemen seram supernatural dengan tradisi kuno Dusun.
Filem berdurasi 120 minit terbabit mengisahkan tentang seorang wanita muda bernama Tana yang mewarisi kebolehan mistik daripada keturunan bobolian-nya.
Ketika kuasa jahat mengancam kampungnya kejadian aneh dan kematian misteri mula berlaku sehingga memaksa Tana berdepan entiti gelap dengan bantuan Inspektor Zaf seorang anggota polis yang dihantui masa silamnya.
Filem ini menampilkan Jovenea Jim sebagai Tana dan Syafie Naswip sebagai Inspektor Zaf bersama pelakon veteran Namron serta bakat baharu seperti Eva Sandra Duin dan Devey Grayc.
Jovenea merupakan naib juara pertama Unduk Ngadau Negeri 2011 yang mempunyai latar belakang kukuh dalam bidang televisyen dan perfileman selain pernah memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik untuk filem pendek Ninavau pada 2019.
Syafie pula seorang pelakon Malaysia yang diiktiraf dan sudah meraih pelbagai anugerah termasuklah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia dan Anugerah Skrin.
Selain unsur seram, Mantera turut memaparkan keindahan landskap Sabah serta menyelami warisan masyarakat peribuminya.
Filem ini adalah debut pengarahan filem cereka bagi Pang selepas pengalamannya yang luas dalam dokumentari, televisyen dan filem pendek.
“Melalui Mantera saya ingin mencipta naratif visual yang menggabungkan seram supernatural dengan tradisi budaya.
“Filem ini bukan sahaja menyajikan elemen ketegangan dan kejutan, tetapi juga menjadi pintu masuk untuk memahami keunikan kepercayaan masyarakat peribumi kita,” kata Pang.
Sinematografi filem ini dikendalikan oleh salah seorang sinematografer terkemuka Sabah Tim Stephen yang terkenal dengan karya filem pertama dari Sabah yang ditayangkan di Netflix iaitu Sinakagon.





![[VIDEO] 9,550 anggota wanita berkhidmat dengan ATM](https://cdn.newswav.com/img/topic/politics.jpeg)