Mapim kecam tindakan perlekeh Jalur Gemilang di Melbourne

LocalPolitics
25 Oct 2026 • 6:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Mapim kecam tindakan perlekeh Jalur Gemilang di Melbourne
Mohd Azmi

SHAH ALAM - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengecam tindakan kumpulan Sabah Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) Australia yang dilaporkan mempamerkan Jalur Gemilang secara terbalik ketika mengadakan demonstrasi di hadapan Bangunan Parlimen Victoria, Melbourne pada Sabtu.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Jalur Gemilang ialah lambang kedaulatan, maruah dan identiti negara yang mesti dihormati oleh setiap rakyat Malaysia tanpa mengira tempat mereka berada.

"Perbezaan pandangan politik, ketidakpuasan hati terhadap dasar kerajaan atau tuntutan berkaitan hak wilayah tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk memperlekeh lambang kebangsaan.

"Lebih membimbangkan ialah penggunaan naratif yang menggambarkan Malaya sebagai penjajah kepada Sabah dan Sarawak, sekiranya naratif tersebut digunakan untuk membangkitkan permusuhan antara rakyat kedua-dua wilayah itu dengan rakyat Semenanjung Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

SSKM Australia sebelum itu mengadakan demonstrasi di hadapan Bangunan Parlimen Victoria, Melbourne bersempena Hari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menerusi hantaran di Facebook SSKM, kumpulan itu turut memuat naik poster kenyataan media bertarikh 24 Oktober 2026 dengan tajuk 'Bendera Malaysia Diterbalikkan Sebagai Seruan Agar Suara Sabah dan Sarawak Didengari'.

Poster berkenaan turut memaparkan sekumpulan individu memegang bendera Sabah dan Sarawak dan beberapa plakad yang mengandungi mesej berkaitan hak serta masa depan kedua-dua negeri itu

Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, Mapim mengiktiraf bahawa Sabah dan Sarawak mempunyai sejarah, identiti, kepentingan serta kedudukan tersendiri dalam pembentukan Malaysia.

Beliau berkata, pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), pemeliharaan hak perlembagaan, autonomi yang dipersetujui serta penyelesaian tuntutan yang masih berbangkit perlu terus diberikan perhatian serius oleh Kerajaan Persekutuan.

Tambahnya, persoalan berkaitan pelaksanaan MA63 juga tidak boleh diketepikan hanya kerana terdapat pihak yang menggunakan pendekatan provokatif dalam menyuarakan tuntutan mereka.

Beliau pada masa sama mengingatkan supaya sentimen yang menggambarkan rakyat Semenanjung sebagai musuh kepada rakyat Sabah dan Sarawak perlu dihentikan segera.

"Rakyat Sabah dan Sarawak tidak seharusnya menganggap tindakan sesebuah kumpulan sebagai gambaran pendirian keseluruhan masyarakat mereka. Begitu juga, rakyat Semenanjung tidak harus membalas provokasi dengan penghinaan atau prasangka terhadap masyarakat Sabah dan Sarawak," katanya.

Mapim dalam masa sama turut menggesa pendidikan sejarah Malaysia diperkasakan supaya generasi muda memahami proses pembentukan negara secara menyeluruh, termasuk latar belakang Sabah dan Sarawak serta asas Perlembagaan Persekutuan.

"Jika terdapat dakwaan pelanggaran undang-undang berkaitan tindakan mempamerkan Jalur Gemilang secara terbalik, pihak berkuasa yang berbidang kuasa hendaklah menelitinya berdasarkan bukti dan undang-undang yang terpakai.

"Menghormati Jalur Gemilang tidak bermaksud menutup ruang untuk menuntut hak, manakala memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak pula tidak memerlukan penghinaan terhadap lambang kebangsaan atau pembinaan permusuhan antara wilayah," katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved