MARA sasar kutipan bayaran balik pinjaman RM1 bilion bagi tahun 2025

26/08/2025 - 18:24
KUALA LUMPUR 26 Ogos - Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan kutipan bayaran balik pinjaman sebanyak RM1 bilion tahun ini di bawah skim pembiayaan keusahawanan dan pendidikan yang ditawarkan.
Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman berkata, kutipan bayaran balik setakat Ogos kekal berada di landasan yang betul, walaupun terdapat sebilangan peminjam yang berdepan cabaran.
“Kebiasaannya, lima daripada 10 usahawan membayar balik pinjaman tanpa sebarang masalah, manakala selebihnya mungkin menghadapi kesukaran. MARA menyediakan sokongan seperti penjadualan semula pinjaman bagi membantu mereka,” katanya selepas merasmikan Himpunan Usahawan Negeri Perlis 2025 kepada pemberita di Perlis.
Zulfikri berkata, daripada 1.5 juta perniagaan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), lebih 80% adalah usahawan mikro dengan jualan tahunan kurang daripada RM300,000.
“Kami menyasarkan untuk membantu usahawan mikro berkembang menjadi perusahaan kecil dan seterusnya ke tahap perusahaan sederhana. MARA menyediakan ekosistem yang lengkap, merangkumi pembangunan modal insan, pembiayaan, khidmat nasihat dan premis perniagaan,” katanya.
Di Perlis, katanya, seramai 2,000 usahawan telah menerima manfaat daripada bantuan Mara tahun ini di bawah peruntukan sebanyak RM20 juta, yang telah menjana jualan bernilai RM51.5 juta serta mewujudkan lebih 3,500 peluang pekerjaan.
Beliau turut menggalakkan para usahawan meneroka peluang di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) serta perdagangan rentas sempadan dengan Thailand.
Program tersebut turut menampilkan sesi Bicara Naratif oleh Zulfikri dan sesi Bless Talk bertajuk ‘Northern Region Logistics Hub: Is Perlis Ready?’ yang melibatkan panelis daripada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan sektor swasta.
Acara ini menghimpunkan seramai 350 usahawan dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp), Fama, Risda, Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Mada, Felcra Bhd dan GIATMARA Perlis. - BERNAMA
standard


