SHAH ALAM - Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberi diskaun sewaan sebanyak 20 peratus ke atas premis-premis perniagaan di bawah seliaannnya di seluruh negara.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya turut membuka ruang kepada peminjam di bawah pelbagai skim pembiayaannya untuk menstruktur semula pinjaman masing-masing.
Tambah beliau, peminjam dan penerima manfaat yang terkesan digalakkan tampil berunding dengan pegawai MARA bagi mencari penyelesaian terbaik.
"MARA memberikan 20 peratus diskaun sewaan ke atas premis-premis perniagaan yang disewakan.
"Buat semua peminjam dan penerima manfaat pelbagai skim pembiayaan MARA yang menghadapi kesulitan menguruskan aliran tunai dan kewangan lantaran kegawatan ekonomi masa kini, mereka boleh hadir dan berunding dengan pegawai-pegawai MARA di seluruh negara sama ada di pejabat MARA daerah-daerah atau negeri-negeri atau boleh terus ke Ibu Pejabat MARA di Kuala Lumpur," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pengurangan kadar sewa premis perniagaan milik agensi termasuk MARA dan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) berkuat kuasa serta-merta bulan ini.
Menurut beliau, langkah itu diputuskan bagi meringankan beban peniaga kecil dan penjaja susulan tekanan kos akibat krisis bekalan global yang kian meruncing.
Malah, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri turut digesa mengambil langkah sama bermula bulan ini.






