
KUALA LUMPUR: Juara dunia MotoGP enam kali Marc Marquez (gambar) memenangi gelaran pertamanya pada musim 2013, sekali gus menjadikan beliau sebagai pelumba paling muda melakukannya pada usia 20 tahun.
Rekod itu kekal sehingga hari ini.
Dalam tempoh 10 tahun, pelumba Sepanyol berusia 30 tahun itu telah memenangi 59 perlumbaan MotoGP untuk membantu beliau meraih enam gelaran dunia, dan sebelum itu pernah muncul juara dunia dalam kelas Moto3 dan Moto2 selepas mencatatkan keseluruhan 26 kemenangan.
Keghairahannya untuk berlumba tidak dapat dihalang sehinggalah mengalami mimpi ngeri apabila tangan kanannya patah selepas terbabit dalam kemalangan di Litar Sepanyol pada permulaan musim 2020, yang juga menjadi ancaman terhadap masa depan kariernya.
Siri dokumentari Marc Marquez: ALL IN lima bahagian ditayangkan menerusi Red Bull TV, menceritakan tentang seorang pemuda mencipta kegemilangan serta berjaya mengalahkan jaguh lain, dan kemudiannya ditimpa musibah akibat kemalangan dialaminya sehingga perlu menjalani pembedahan lagi, iaitu pilihan terakhir beliau jika mahu terus memburu Grand Prix ke-60nya.
“Melalui dokumentari itu, anda boleh lihat drama sebenar. Dalam siri itu, anda dapat melihat saya berada di kampung halaman tapi berpindah ke Madrid kerana doktor dan ahli fisioterapi yang saya mahukan ada di sana.
“...saya ubah seluruh kehidupan saya. Ia hanya untuk satu matlamat; iaitu untuk cuba dan cuba lagi. Bukan untuk menjadi pelumba terbaik tapi untuk menang lagi,” kata Marquez dalam kenyataan dikeluarkan Red Bull.
Siri dokumentari berkenaan turut memaparkan temu bual dengan kenalan rapat Marquez, rakan sepasukan, media dan juga pesaing seperti rakan senegara dan juara dunia MotoGP tiga kali Jorge Lorenzo.
“Ketika menyertai kategori MotoGP, ia mengejutkan ramai kerana saya menang pada tahun pertama mengatasi idola-idola seperti Valentino Rossi, Dani Pedrosa dan Lorenzo. Semasa saya masih kanak-kanak, saya menyimpan poster mereka dan jika bermain permainan video, saya menjadi Valentino Rossi.
“Kemudian pada 2013 apabila kali pertama melangkah ke MotoGP, saya menang. Dalam kerjaya saya, ia adalah perkara paling besar dan saya berjaya,” kata pelumba Repsol Honda Team itu.
Marquez menggegar pentas dunia pada 2013, menjadi pelumba termuda muncul juara dunia MotoGP pada usia 20 tahun 266 hari, pada tahun pertamanya sebelum mendominasi gelaran itu pada 2014, 2016, 2017, 2018 dan 2019. -Bernama


