
Musim 2025 berakhir dengan cara paling sempurna untuk Aprilia Racing apabila Marco Bezzecchi mendominasi perlumbaan utama dari mula hingga ke garisan penamat, sekaligus meraih kemenangan ketiganya musim ini. Bermula dari petak pertama, Bezzecchi menguasai setiap lap di Valencia, sesuatu yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana pelumba Aprilia sebelum ini dalam saingan Grand Prix.
Lebih manis lagi, kemenangan di Valencia melengkapkan dua kemenangan berturut-turut untuk Bezzecchi selepas Portimão, dan menyamai rekod kemenangan serta jumlah pole yang pernah dicapai Aleix Espargaró. Ia juga merupakan detik bersejarah buat Aprilia Racing: dua kemenangan MotoGP berturut-turut buat pertama kali, serta kemenangan pertama Aprilia di Valencia, litar yang sebelum ini tidak pernah memberikan podium kepada mereka. Pencapaian ini turut menjadi one-two kedua selepas kali terakhir pada Barcelona 2023.
Bagi Bezzecchi, ini adalah musim terbaik dalam kariernya dan juga musim paling berjaya pernah dicatat Aprilia dalam era MotoGP moden dengan 15 podium, termasuk 3 kemenangan sprint, 3 kemenangan GP penuh, serta 5 kali pole position. Prestasi konsisten itu membolehkannya menamatkan musim di tempat ketiga kejuaraan, sementara Aprilia Racing menamatkan musim sebagai naib juara kategori pengeluar.
Sementara itu, rakan sepasukan Jorge Martín yang bermula dari petak ke-17 perlu menunaikan dua hukuman Long Lap akibat insiden di Motegi. Menjelang lap ke-15, Aprilia Racing mengambil keputusan menarik diri Martín sebagai langkah berjaga-jaga menjelang sesi ujian penting pada Selasa.
Kesempurnaan hari bersejarah Aprilia dilengkapkan oleh pelumba Trackhouse MotoGP Team, Raúl Fernández, yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua serta memastikan one-two gemilang untuk Aprilia dengan jentera RS-GP25.
Petikan Pelumba & Pengurusan
Marco Bezzecchi
“Penamat musim yang cukup hebat. Raúl memberi tekanan kuat terutama di penghujung perlumbaan, tetapi saya sudah membina jurang awal yang membolehkan saya kawal keadaan. Dua lap terakhir sangat mencabar, tetapi saya terlalu mahukan kemenangan ini, jadi saya kekal fokus tanpa melakukan kesilapan.”
Jorge Martín
“Saya rasa menarik diri adalah keputusan yang tepat. Saya agak penat dan lebih baik saya fokus untuk sesi ujian Selasa nanti. Tiada keperluan membebankan diri dalam perlumbaan ini tanpa sebarang manfaat.”
Massimo Rivola, CEO Aprilia Racing
“Akhirnya, kami menutup musim sebagai watak utama. Melihat dua Aprilia di hadapan adalah detik luar biasa. Statistik tahun ini amat penting – Marco melalui musim sempurna, menamatkan kejuaraan di tempat ketiga dengan margin baik. Sebagai pengeluar, kami melepasi 400 mata dan meraih tempat kedua. Semua ini menjadi motivasi untuk kami kembali lebih kuat pada 2026. Terima kasih kepada Piaggio Group dan seluruh pasukan di Noale atas usaha yang luar biasa.”





The post Marco Bezzecchi & Aprilia Racing Tamatkan Musim Dengan Gaya: Kemenangan Bersejarah di Valencia appeared first on TW Media.
