Margin Kawan Renergy lambat pulih, PublicInvest turunkan unjuran untung FY26 hingga FY28

LocalBusiness & Finance
28 Sep 2026 • 10:41 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Margin Kawan Renergy lambat pulih, PublicInvest turunkan unjuran untung FY26 hingga FY28 Image from: Margin Kawan Renergy lambat pulih, PublicInvest turunkan unjuran untung FY26 hingga FY28 amree28/09/2026 - 10:41 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Sept — Margin Kawan Renergy Berhad dilihat lambat pulih berikutan masih berdepan tekanan kos yang tinggi, mendorong Public Investment Bank (PublicInvest) menurunkan unjuran pendapatan kumpulan tersebut bagi FY26 hingga FY28.

 

Firma penyelidikan itu berkata, meskipun keuntungan menunjukkan peningkatan pada suku ketiga FY26 (3QFY26), namun kos pengangkutan, buruh dan bahan yang tinggi serta penyerapan tambahan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) terus menekan margin syarikat.

 

Kumpulan merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti teras (PATAMI) RM1.9 juta, meningkat 284.9% berbanding RM500,000 pada suku sebelumnya, susulan pengurangan lebihan kos projek loji janakuasa di Sabah serta campuran projek yang menguntungkan.

 

"Bagaimanapun prestasi Kawan Renergy itu masih jauh lebih rendah berbanding tempoh sama FY25 dengan PATAMI teras susut 78%, manakala PATAMI teras sembilan bulan FY26 sebanyak RM7.9 juta hanya 57.4% daripada unjuran bagi tahun penuh," jelas nota PublicInvest.

 

Menurut firma berkenaan lagi, keadaan itu menunjukkan tekanan kos berkaitan projek di Sabah semakin reda secara berperingkat, tetapi pemulihan margin berlaku lebih perlahan daripada jangkaan dalam persekitaran kos yang dilihat sebagai masih lagi tinggi.

 

Sehubungan itu, ia menurunkan unjuran pendapatan kumpulan berkenaan bagi tiga tahun kewangan iaitu FY26, FY27 dan FY28 masing-masing susut sebanyak 17%, 35% dan 27%, selain mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap saham syarikat tersebut.

 

Kawan Renergy_DagangNews2026

 

PublicInvest turut menurunkan harga sasaran (TP) Kawan Renergy kepada 39 sen daripada 51 sen sebelum ini, berdasarkan 16.2 kali anggaran pendapatan sesaham (EPS) FY27 sebanyak 2.4 sen, bersamaan satu sisihan piawai di bawah purata sejarah.

 

"Dari segi hasil pula, pendapatan pada 3QFY26 meningkat 1.4% secara suku ke suku dan (QoQ) 32.6% tahun ke tahun (YoY) kepada RM46.5 juta, dengan sumbangan perniagaan yang lebih seimbang berbanding suku yang sebelumnya," kata firma berkenaan.

 

Segmen peralatan proses industri jelasnya, mencatatkan peningkatan hasil kira-kira 45.7% QoQ dan 2.6% YoY kepada RM19.4 juta, manakala hasil menerusi loji proses bertambah sebanyak 29.5% QoQ dan 17.7% YoY kepada RM8 juta.

 

Sementara itu ujar PublicInvest, pendapatan tenaga boleh dibaharui (RE) dan kogenerasi Kawan Renergy susut kira-kira 27.5% QoQ kepada RM18.5 juta susulan pengiktirafan hasil yang kukuh pada 2QFY26, namun masih meningkat 129.6% YoY.

 

Bagaimanapun, hasil kasar masih merosot 60.1% YoY akibat kos operasi yang tinggi, manakala kadar cukai efektif meningkat kepada 60.8% pada 3QFY26, antara faktor yang terus menekan keuntungan bersih kumpulan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved