MARGMA gesa kerajaan mansuh cukai bebankan industri sarung tangan getah dalam Belanjawan 2027

LocalBusiness & Finance
5 Oct 2026 • 11:10 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MARGMA gesa kerajaan mansuh cukai bebankan industri sarung tangan getah dalam Belanjawan 2027 Image from: MARGMA gesa kerajaan mansuh cukai bebankan industri sarung tangan getah dalam Belanjawan 2027 amree05/10/2026 - 11:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 5 Okt — Industri sarung tangan getah tempatan kini berdepan tekanan kos yang sengit, mendorong Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menggesa kerajaan menyemak semula bebanan cukai dan tarif tenaga menjelang pembentangan Belanjawan 2027.

 

Presidennya, Oon Kim Hung menegaskan bahawa industri berkenaan amat memerlukan pemansuhan atau pengurangan cess eksport iaitu kutipan wajib yang dikenakan oleh kerajaan sebanyak 0.2%, bagi mengembalikan daya saing pengeluar Malaysia di peringkat global.

 

Menurutnya dalam kenyataan, jika pemansuhan penuh tidak dapat dilaksanakan dengan segera, persatuan berkenaan mencadangkan agar kadar tersebut dikurangkan secara ketara selain pengenalan mekanisme semakan berkala berdasarkan keadaan pasaran semasa.

 

"Selain isu cess, MARGMA turut menuntut kerangka kos tenaga yang lebih fleksibel dan kompetitif, khususnya melibatkan bekalan gas asli dan elektrik untuk sektor pembuatan," jelas beliau.

 

Bagi gas asli, kerajaan digesa menyemak semula mekanisme kapasiti rizab (RC) dan konsep 'take-or-pay' (TOP) bagi memberi kelonggaran sekiranya penggunaan sebenar di kilang adalah jatuh di bawah paras kontrak akibat faktor pasaran.

 

Persatuan itu juga berharap sebarang semakan tarif elektrik pada masa hadapan dapat disampaikan melalui mekanisme yang telus serta boleh diramal bagi memudahkan perancangan perniagaan syarikat.

 

Margma Oon Kim Hung_DagangNews2026
OON KIM HUNG

 

Menyentuh aspek inovasi, Kim Hung mencadangkan pengenalan insentif cukai dipertingkat khusus untuk pengilang tempatan yang mengkomersialkan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) anak tempatan.

 

"Insentif tersebut dicadangkan merangkumi pelepasan perbelanjaan bagi pengeluaran rintis, pensijilan produk, pembelian mesin khusus, serta bantuan geran padanan untuk projek pembuatan mampan dan automasi," katanya.

 

MARGMA turut menekankan kepentingan transformasi pekerja melalui insentif pembangunan kemahiran bersasaran, termasuk potongan cukai tambahan bagi latihan digital dan program latihan semula.

 

Bagi mendepani isu guna tenaga, persatuan meminta kerajaan mewujudkan kerangka pekerja asing berasaskan keperluan yang lebih telus, serta mempunyai tempoh masa pemprosesan permohonan yang tetap.

 

Selain itu, Kim Hung berharap Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) dilanjutkan selepas 31 Disember 2026, di samping penyediaan kerangka pelaburan berbilang tahun untuk projek automasi dan teknologi Industri 4.0. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved