MARGMA sokong arahan wajibkan pengilangan sepenuhnya di Malaysia untuk eksport sarung tangan

LocalBusiness & Finance
6 May 2025 • 4:37 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MARGMA sokong arahan wajibkan pengilangan sepenuhnya di Malaysia untuk eksport sarung tangan

image is not available

06/05/2025 - 16:37

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 6 Mei – Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menyokong arahan kerajaan yang menetapkan hanya sarung tangan getah dikilangkan dan diproses sepenuhnya di Malaysia layak mendapat sijil asal untuk tujuan eksport.

Presiden MARGMA, Kim Hung berkata, arahan yang diumumkan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Ghani itu mewajibkan pengeksport memastikan keseluruhan proses pengilangan dijalankan di Malaysia bagi melayakkan produk mendapat sijil pengesahan daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

"Hanya produk yang diproses dan dihasilkan sepenuhnya dalam negara dibenarkan untuk dieksport, sejajar dengan komitmen Malaysia terhadap rakan dagang antarabangsa seperti Amerika Syarikat," katanya dalam satu kenyataan.

Kim Hung turut menyatakan, langkah itu untuk menjamin kualiti, ketelusan rantaian bekalan, dan pematuhan piawaian ESG yang ditetapkan pembeli antarabangsa. Ia juga menghalang amalan transhipment yang boleh menjejaskan keyakinan pasaran.

Malaysia merekodkan eksport sarung tangan bernilai RM15.41 bilion pada 2024, mewakili hampir separuh daripada jumlah eksport produk getah negara. Eksport ke Amerika Syarikat (AS) sahaja mencecah RM7.41 bilion atau 3.7% daripada keseluruhan eksport negara ke sana.

Walaupun berdepan cabaran seperti kenaikan tarif 10% dan tindakan balas dagangan oleh AS, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia dijangka terus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran sarung tangan AS.

"Penguasaan pasaran sarung tangan Malaysia di AS dijangka meningkat daripada 47% kepada 55%, disokong oleh faktor daya saing serta kadar tarif lebih tinggi yang dikenakan terhada pesaing seperti China," katanya.

Menurut laporan prestasi MITI bagi suku pertama 2025, pasaran sarung tangan getah Amerika dijangka mencapai nilai AS$4.17 billion (RM19.81 bilion) menjelang 2030.

Kim Hung berkata, dasar tersebut mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai pengeluar sarung tangan berkualiti tinggi, sekali gus memberi jaminan kepada pengimport dan penyedia penjagaan kesihatan label 'Made in Malaysia' mencerminkan pengeluaran tempatan.

MARGMA turut memuji ketegasan kerajaan mengekalkan kebenaran mengimport lateks mentah terutama dari Thailand bagi menampung kekurangan pengeluaran tempatan yang hanya memenuhi sekitar satu pertiga keperluan industri.

Bagi memastikan pematuhan sepenuhnya, MARGMA akan bekerjasama dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan agensi penguat kuasa bagi membantu ahli dalam penyediaan dokumentasi, pematuhan audit, serta membendung risiko penyelewengan perdagangan.

"Kami menyeru semua pengeksport mematuhi bukan sahaja dari segi teknikal, malah semangat dasar ini. MARGMA komited untuk mempertahankan kedudukan Malaysia sebagai sumber utama sarung tangan getah berkualiti dan beretika di peringkat global," katanya.- DagangNews.com

standard