Marhamah sedia berundur jika terbukti menyesatkan orang ramai

LocalPolitics
1 Oct 2026 • 4:33 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Marhamah sedia berundur jika terbukti menyesatkan orang ramai

SHAH ALAM, 1 OKT: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli menyatakan kesediaan melepaskan jawatan sekiranya mahkamah membuktikan beliau bersalah menyesatkan orang ramai.

Beliau berkata sebarang dakwaan terhadapnya perlu dibuktikan melalui proses undang-undang.

“Saya akan letak jawatan hanya apabila terbukti saya betul-betul menyesatkan orang dan betul-betul ada orang yang saya sesatkan.

“Buktikan di mahkamah,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Hi-Tea Bersama Sahabat Wakaf Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) 2026 di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, PAS Sabah menggesa Marhamah meletakkan jawatan sekiranya penelitian pihak berkuasa agama mengesahkan penglibatan atau sokongannya terhadap fahaman New Age Movement (NAM).

Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan berkata penelitian berasaskan bukti dan disiplin ilmu perlu dilakukan bagi menentukan kedudukan sebenar isu berkenaan.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebelum ini sudah mengadakan sesi pertemuan dan tabayyun bersama Marhamah susulan dakwaan yang mengaitkannya dengan penyebaran amalan perdukunan, sihir, azimat serta NAM.

Pertemuan itu turut melibatkan Mufti Wilayah Persekutuan dan Panel Pakar Akidah JAKIM.

Dalam pada itu, Marhamah enggan mengulas lanjut kenyataan yang dikeluarkan JAKIM mengenai perkara tersebut.

“JAKIM sudah mengeluarkan kenyataan media dan saya tidak boleh ulas lanjut.

“Doakan Allah jaga kita semua,” katanya.

Terdahulu, seorang pengguna Facebook berkongsi mengenai program yang dikaitkan dengan Timbalan Menteri berkenaan, didakwa berunsur NAM dan perkongsian itu mendapat perhatian warganet di media sosial.

Bagaimanapun Marhamah menafikan segala tohmahan yang dibuat ke atasnya selain menuntut pihak terbabit menarik balik penerbitan berkenaan, menghentikan penyebaran serta membuat permohonan maaf dan pembetulan secara terbuka dalam tempoh berkenaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved