
Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah mahu memastikan pembangunan industri minyak dan gas tidak terhad kepada aktiviti penerokaan dan pengeluaran semata-mata, sebaliknya menjana limpahan ekonomi lebih besar serta manfaat jangka panjang untuk Negeri ini dan rakyatnya.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata persoalan lebih penting bukan semata-mata berapa banyak sumber minyak dan gas yang dimiliki Sabah, tetapi berapa banyak nilai daripada sumber itu dapat dimanfaatkan untuk kepentingan Negeri dan rakyat.
Beliau berkata industri minyak dan gas merangkumi keseluruhan rantaian nilai, daripada infrastruktur dan perkhidmatan sokongan kepada aktiviti pertengahan dan hiliran, pembangunan vendor, teknologi, tenaga kerja mahir, pelaburan serta aktiviti ekonomi lain yang berkaitan.
“Sudah tentu, kita mahu pertumbuhan industri ini menjana limpahan manfaat ekonomi yang lebih luas untuk Sabah,” katanya pada Majlis Pemeteraian Perjanjian Pajakan Tanah bagi Projek Sabah Oil and Gas Terminal (SOGT) dan Sabah Sarawak Gas Pipeline (SSGP) antara Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) dan Petronas di Hyatt Regency Kinabalu, di sini, pada Rabu.
Ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Ewon Benedick.
Hajiji berkata perkembangan aktiviti penerokaan dan penemuan sumber baharu sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan prospek lebih cerah bagi pembangunan industri minyak dan gas Sabah pada masa hadapan.
Beliau berkata infrastruktur SOGT dan SSGP tidak seharusnya dilihat hanya dari segi fungsi operasinya, tetapi juga sebagai infrastruktur penting yang menyokong ekosistem pertumbuhan ekonomi negeri.
Kedudukan strategik kemudahan itu berpotensi membuka peluang kepada aktiviti ekonomi dan perindustrian lain di kawasan sekitarnya, khususnya sepanjang koridor Kimanis-Sipitang yang berpotensi berkembang sebagai kawasan pertumbuhan utama di Sabah.
Sehubungan itu, Hajiji berkata infrastruktur yang dibangunkan perlu dimanfaatkan bukan sahaja untuk memenuhi keperluan semasa, tetapi juga bagi menyokong peluang pelaburan, pembangunan industri dan kemajuan sosioekonomi pada masa hadapan.
Beliau berkata kerajaan negeri amat menghargai sumbangan, pelaburan dan kepakaran Petronas yang sekian lama memainkan peranan penting dalam pembangunan industri minyak dan gas tempatan serta menjadi rakan pembangunan Sabah.
Kerajaan negeri mahu melihat lebih banyak manfaat dan peluang penyertaan tempatan, termasuk membolehkan syarikat serta vendor berpangkalan di Sabah berkembang daripada penyedia perkhidmatan sokongan kepada entiti yang mempunyai keupayaan teknikal, pengurusan, teknologi dan kewangan lebih kukuh.
Katanya, syarikat tempatan perlu berupaya menyertai peluang lebih besar dan bernilai tinggi dalam rantaian nilai industri itu, manakala Petronas mempunyai peranan penting bersama kerajaan negeri untuk merealisasikan hasrat berkenaan.
Pada masa sama, beliau berkata pembangunan industri perlu seiring dengan pembangunan modal insan bagi memastikan rakyat Sabah diberi peluang memperoleh kemahiran, pengalaman dan pendedahan untuk membina kerjaya dalam sektor minyak dan gas, khususnya dalam bidang teknikal dan profesional.
Hajiji turut menegaskan bahawa Sedco perlu terus berkembang melangkaui peranannya sebagai pemilik dan pengurus aset kepada pemudah cara pelaburan serta rakan strategik industri.
Ini termasuk mengambil pendekatan lebih proaktif dalam mengenal pasti aset, peluang dan potensi kerjasama yang boleh dibangunkan bersama pemain industri.
Beliau berkata usaha itu perlu merangkumi peluang berkaitan tanah, infrastruktur, pembangunan komersial dan bentuk kerjasama lain yang mampu memberikan manfaat bersama serta pulangan munasabah kepada negeri.
Katanya, pemeteraian perjanjian pajakan tanah antara Sedco dengan Petronas merupakan contoh bagaimana pengurusan aset tanah milik negeri boleh dilaksanakan secara lebih sistematik, sekali gus memberikan kepastian kepada pengguna sambil memastikan kepentingan komersial negeri terus terpelihara.
Hajiji berharap kerjasama Sedco-Petronas terus berkembang daripada hubungan berasaskan transaksi kepada perkongsian strategik lebih luas yang memberikan nilai bersama.
Usaha itu akan membantu memastikan pengurusan dan pembangunan sumber serta aset negeri diterjemahkan kepada nilai ekonomi yang nyata dan berkekalan.
Turut hadir Pengerusi Sedco Datuk Masiung Banah; Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management (MPM) Petronas, Datuk Ir Bacho Pilong; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Thomas Logijin; Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Datuk Sr Alan Chua Ming Ling; Pengurus Besar Kumpulan Sedco Datuk James Wong Kein Peng; serta Pengurus Besar Kanan MPM (Pengurusan Hidrokarbon Bersepadu) Ziaril Faiz Zakaria.




