
SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 78,400 batang rokok putih tidak bercukai di perairan Sandakan, pada Khamis.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, rampasan itu dilakukan menerusi operasi bersepadu sekitar pukul 11 malam, apabila sebuah kapal mencurigakan dikesan berhampiran perkampungan atas air di Tanah Merah, Sandakan.
Advertisement“Pasukan penguatkuasa yang sedang menjalankan rondaan mengesan pergerakan mencurigakan sebuah kapal di kawasan tersebut sebelum mengarahkan ia berhenti menggunakan pembesar suara dan siren untuk pemeriksaan.
“Bagaimanapun, menyedari kehadiran pihak berkuasa, tekong kapal bertindak memecut laju ke kawasan perairan cetek berhampiran Kampung Tanah Merah, dalam usaha meloloskan diri,” jelas beliau.
SPONSORED CONTENT How Spritzer’s silica rich natural mineral water makes your skin healthier When it comes to skincare, the first thought on our minds would be beauty products such as serums, creams, and masks. However, beauty experts and even researchers have stated that drinking more water can be just as crucial for your skin's health. Read more Seorang individu yang dipercayai berada di dalam kapal tersebut dilaporkan melarikan diri sejurus kapal berkenaan ditinggalkan.
Bagaimanapun, tindakan pantas Maritim Malaysia berjaya menahan kapal yang berdaftar di bawah lesen perikanan itu kira-kira 15 minit kemudian di kedudukan 0.2 batu nautika timur Kampung Tanah Merah, Sandakan.
AdvertisementPemeriksaan lanjut ke atas vesel yang dilengkapi enjin sangkut 40 kuasa kuda itu menemui 78,400 batang rokok putih tidak bercukai, dipercayai cuba diseludup dari negara jiran.
“Nilai keseluruhan rampasan, termasuk rokok seludup, enjin sangkut, dan vesel yang digunakan, dianggarkan melebihi RM63,000,” tambahnya.
AdvertisementKesemua barang rampasan telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk tindakan lanjut, sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan mengikut Akta Kastam 1967 kerana membawa barang larangan tanpa permit yang sah, serta Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002 kerana gagal mempamerkan lesen kapal yang sah.
Muhamad Suhairy berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti pemilik bot serta dalang utama di sebalik kegiatan penyeludupan ini.
Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan di perairan negara digesa untuk menyalurkan maklumat kepada Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera.

