
KOTA KINABALU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah terus mempergiat langkah drastik membanteras kebanjiran Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) apabila menahan seramai 133 individu dalam siri operasi besar-besaran di seluruh daerah baru-baru ini.
Operasi penguatkuasaan itu dilaksanakan dalam tempoh seminggu bermula 27 Ogos sehingga 3 September 2026.
Pengarah JIM Sabah dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 20 operasi penguatkuasaan telah digempur di pelbagai lokasi strategik yang dikenal pasti menjadi sarang atau tumpuan warga asing.
“Menerusi operasi tersebut, seramai 289 individu telah diperiksa secara menyeluruh. Hasil pemeriksaan mendapati 133 daripada mereka melakukan kesalahan imigresen dan ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Menurut pecahan tangkapan, warga Filipina mencatatkan jumlah tertinggi dengan 97 orang ditahan melibatkan 45 lelaki dewasa, 25 perempuan dewasa, 18 kanak-kanak lelaki, dan sembilan kanak-kanak perempuan.
Ini diikuti oleh 32 warga Indonesia (27 lelaki dewasa, lima perempuan dewasa) serta empat lelaki dewasa warga Pakistan.
Pihak JIM Sabah menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan operasi bersepadu ini akan diteruskan secara konsisten bagi mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen.
Dalam pada itu, JIM memberi amaran keras kepada orang ramai dan para majikan agar tidak melindungi, menggaji, atau bersubahat membantu warga asing yang melanggar undang-undang negara.
Siri serbuan ini dilakukan bagi memastikan kedaulatan undang-undang terus terpelihara, dan masyarakat diminta menyalurkan maklumat mengenai PATI melalui portal rasmi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) Jabatan Imigresen. – KOSMO! ONLINE
The post 133 PATI dicekup, paling ramai warga Filipina appeared first on Kosmo Digital.






