Maritim rampas hampir 3,000kg gula, minyak masak

LocalPolitics
21 Mar 2025 • 1:13 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Lagatah Toyos

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas sebuah bot kargo dengan muatan hampir 3,000 kilogram (kg) barang kawalan berupa gula dan minyak masak yang diangkut tanpa permit, di selatan Tanjung Batu, di sini, sekitar jam 6 petang Selasa lalu.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot berkenaan yang dikesan sedang bergerak dari arah Jeti Makmur menuju ke Pulau Sebatik, ditahan dalam Ops Pagar Laut 1/2025 oleh kapal peronda Maritim Malaysia KM Medang.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati bot terbabit dikendalikan seorang juragan lelaki warga tempatan, 30, bersama seorang pembantu warga Indonesia, 25.

“Pemeriksaaan dokumentasi mendapati juragan gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan barang kawalan yang dibawanya dan hanya mempunyai dokumen pengikraran barangan runcit ke Pulau Sebatik,” katanya dalam kenyataan media, Khamis.

Shahrizan berkata, hasil penggeledahan ke atas bot kargo tersebut, pihaknya menemui sejumlah 2,110 kilogram (kg) gula pasir serta 820 kg minyak masak berpaket yang disorok di dalam bot berkenaan.

Menurutnya, kesemua barangan kawalan, termasuk bot kargo dan enjin bot disita dengan nilai keseluruhan rampasan, dianggarkan berjumlah RM40,000.

Mengulas lanjut, beliau berkata kes itu disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan siasatan juga akan dijalankan bagi mengenalpasti unsur penyeludupan ke negara jiran berikutan adanya permintaan sempena musim perayaan.

Tambahnya, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti- aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia, khususnya di perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Katanya, pihaknya juga akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan agensi lain demi memastikan undang-undang negara sentiasa dipatuhi semua pihak.

Menurutnya, sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau boleh disalurkan menerusi talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999.