Maritim tahan warga Indonesia tangkap ikan tanpa lesen di Kapar

27 Jul 2026 • 8:09 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Maritim tahan warga Indonesia tangkap ikan tanpa lesen di Kapar

SHAH ALAM, 27 JULAI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan seorang lelaki warga Indonesia yang disyaki menangkap ikan tanpa lesen menggunakan bot fiber tanpa nombor pendaftaran di perairan Kapar, lewat malam semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata suspek berusia 32 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.50 malam ketika kapal ronda Maritim Malaysia menjalankan rondaan rutin di kedudukan 0.4 batu nautika barat daya Sungai Sementa Besar.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri, lesen menangkap ikan serta dokumen berkaitan vesel.

"Bot fiber itu juga didapati tidak mempunyai nombor pendaftaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek bersama bot berkenaan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti penangkapan ikan tanpa lesen, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana menggunakan bot tanpa nombor pendaftaran serta dokumen sah, dan Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Abdul Muhaimin berkata Maritim Malaysia akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan perikanan haram serta pelanggaran undang-undang di perairan Selangor.

Beliau turut menggesa orang ramai, khususnya komuniti maritim, menyalurkan maklumat mengenai aktiviti mencurigakan di laut menerusi talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-3176 0627.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved