MBSA sita barangan sembilan penjaja berniaga tanpa lesen

22 Jul 2026 • 4:00 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

MBSA sita barangan sembilan penjaja berniaga tanpa lesen

SHAH ALAM, 22 JULAI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyita barangan milik sembilan penjaja yang menjalankan perniagaan tanpa lesen dalam Operasi Bersepadu Tapak Penjaja Sementara dan Tapak Car Boot Sale di Jalan Nova M U5/M, Seksyen U5, baru-baru ini.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata operasi yang dilaksanakan Jabatan Pelesenan MBSA dengan kerjasama Pejabat Cawangan Sungai Buloh serta Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 18 turut mengesan beberapa peniaga menggaji warga asing sebagai pembantu.

“Operasi ini bertujuan membuat semakan terhadap peniaga tanpa lesen, memastikan peniaga makanan dan minuman mempunyai suntikan tifoid yang sah serta memantau pematuhan syarat dan peraturan pelesenan yang ditetapkan oleh MBSA.

“Selain itu, tindakan amaran turut diberikan kepada penganjur Car Boot Sale bagi memastikan semua peniaga mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh MBSA,” katanya melalui hantaran di Facebook.

MBSA memaklumkan operasi berkenaan turut disertai Ahli Majlis MBSA merangkap Pengerusi MPP Zon 18, Sarimah Lisut, Ketua Seksyen Penjaja MBSA, Nor Asnani Karim serta Pemangku Pengurus Pejabat Cawangan Sungai Buloh, Sallehudin Mohamed Emran.

MBSA menambah pihaknya akan terus melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan secara berkala bagi memastikan semua peniaga mematuhi syarat pelesenan serta Undang-Undang Kecil Penjaja MBSA 2007.

“Langkah ini bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih teratur, bersih dan selamat,” katanya lagi.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved