
KAJANG: Penuntut sekolah dalam penjara boleh menggunakan markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) sebagai merit kemasukan ke universiti melalui Unit Pengambilan Universiti (UPU).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, mereka berpeluang mendapat markah sehingga 10 peratus daripada keseluruhan merit kemasukan ke universiti, berdasarkan penglibatan dalam aktiviti kokurikulum dan sukan.
Menurutnya, kementerian akan meneliti pelaksanaannya tahun ini supaya calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 menerima merit tersebut ketika permohonan melalui UPU.
“Langkah itu mengambil kira penglibatan penuntut dalam aktiviti kokurikulum termasuk sukan yang disertai sepanjang mereka berada di institusi penjara.
“Antara penglibatan itu termasuk penuntut yang mewakili negeri dalam kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) bagi acara tinju dan muay Thai serta meraih pingat emas.
“Pencapaian tersebut menunjukkan penuntut mempunyai keupayaan besar untuk berjaya sekiranya diberikan peluang serta sokongan yang sewajarnya dalam pendidikan,” katanya sewaktu berucap pada Majlis Penutupan Program Hijrah Kasih Kali Ke-17 2026 di Penjara Wanita Kajang di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Datuk Zainal Abas berkata, pengiktirafan PAJSK itu membuka ruang lebih luas untuk menggunakan pencapaian kokurikulum sebagai sebahagian daripada merit melanjutkan pengajian tinggi.
Katanya, pihaknya sedang melihat penyediaan akses pelantar Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia (DELIMa) kepada guru di sekolah integriti dan Sekolah Henry Gurney seluruh negara.
“Kementerian turut meneliti penyediaan akses DELIMa terkawal kepada penuntut supaya mereka dapat mengikuti pembelajaran dalam talian dan secara digital ketika berada dalam institusi.
“Usaha itu bertujuan memastikan penuntut memperoleh akses bahan pendidikan seperti murid lain, termasuk bahan pembelajaran serta buku teks melalui pelantar digital yang disediakan kementerian,” katanya.
Katanya, usaha memperkukuh pendidikan penuntut dalam penjara turut didorong oleh pencapaian mereka apabila sekolah integriti dan Sekolah Henry Gurney mencatat kelulusan SPM 100 peratus. – UTUSAN
The post Markah aktiviti sukan buka peluang penuntut penjara ke universiti appeared first on Utusan Malaysia.






