Siri Google Pixel 10 yang dilancarkan pagi ini menggunakan cip terkini Tensor G5. Ia adalah cip yang menggunakan teknologi 3nm TSMC yang diharap akan memberikan prestasi lebih baik berbanding Tensor terdahulu yang dihasilkan oleh Samsung. Kini markah penanda aras untuk Pixel 10 Fold telah muncul di arena web dan sekali lagi ia mengecewakan.

Dalam ujian Geekbench, Tensor G5 mencatatkan 2276 markah dalam ujian satu teras dan 6173 dalam ujian multi teras. Ia adalah lebih tinggi berbanding Tensor G4 (1916/ 4644 markah) tetapi setanding cip kelas pertengahan Snapdragon 8s Gen 4 (2109, 6858 markah) yang digunakan Nothing Phone (3) dan iQOO Neo 10.
Skor juga jauh ketinggalan berbanding Snapdragon 8 Elite for Galaxy (2957/9435 markah) dan Apple A18 Pro (3359/8129 markah). Sekali lagi Google meletakkan premium pada kemampuan TPU kecerdasan buatan (AI) dan bukan pada prestasi CPU dan GPU. Pelbagai ciri AI seperti alih bahasa secara masa nyata, suntingan gambar menggunakan suara dan pemprosesan terus daripada peranti boleh dilakukan kerana TPU Tensor G5 yang 60% lebih berkuasa berbanding Tensor G4.

