
BANGI: Menahan kesakitan akibat kecederaan bahu, pergelangan tangan dan lutut tidak menghalang gimnas Sabah, Marvell Vincent Voo menghadiahkan dirinya emas kedua Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, sekali gus menjadi sambutan hari lahir ke-18 paling bermakna buatnya.
Marvell yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran pada 27 Ogos ini berkongsi emas acara palang sejajar lelaki bersama wakil Pahang, Khalish Safiy Khairul Anwar selepas kedua-duanya mengumpul 12.675 mata dalam aksi final di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Pingat gangsa turut dikongsi tiga gimnas selepas Neoh Kean Yong dan Wilson Yeoh Wei Sin dari Pulau Pinang serta Khalish Kasyi Mohd Khairi dari Negeri Sembilan masing-masing mencatat 11.525 mata.
“Sasaran saya satu sahaja, tetapi dapat lebih, jadi ini rezeki saya, kemenangan ini kiranya macam hadiah hari kelahiran saya yang sudah dekat dan ia menjadi yang paling bermakna untuk saya sepanjang kerjaya,” katanya.
Lebih membanggakan, atlet pelapis kebangsaan itu terpaksa beraksi dalam keadaan belum pulih sepenuhnya apabila masih menjalani fisioterapi bagi menangani kesakitan akibat kecederaan yang dialaminya.
“Pengorbanan saya memang sangat besar kerana mengalami kecederaan bahu, pergelangan tangan dan lutut, setiap hari saya perlu menjalani fisioterapi untuk mengurangkan kesakitan ketika latihan, namun sakit itu masih ada,” katanya.
Marvell mengakui dia tetap menggagahkan diri untuk turun beraksi kerana mahu membalas kepercayaan keluarga, negeri dan jurulatih, dengan emas kedua itu sekali gus membuktikan segala kesakitan yang ditanggungnya tidak sia-sia.
Selain emas dalam palang sejajar, Marvell turut muncul juara senaman lantai, selain menyumbang perak menerusi kekuda berpelana dan gangsa dalam acara berpasukan, sekali gus memperbaiki pencapaiannya di Sarawak 2024 yang menyaksikan dia sekadar meraih satu emas dan satu gangsa. – UTUSAN
The post Marvell gagah tahan sakit, emas jadi hadiah hari lahir appeared first on Utusan Malaysia.


