
BANGI – Atlet gimnastik Sabah, Marvell Vincent Voo meraikan ulang tahun kelahiran ke-18 dengan cara tersendiri apabila meraih pingat emas dalam acara palang sejajar lelaki pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026.
Pada acara akhir yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini, dia menampilkan aksi cukup baik sehingga meraih 12.675 mata keseluruhan.
Walaupun bakal menyambut hari lahir pada 27 Ogos ini, namun Marvell menganggap kemenangan itu cukup bermakna, lebih-lebih lagi ia merupakan emas keduanya pada Sukma kali ini selepas turut memenangi acara senaman lantai.
“Bagi saya, prestasi saya sangat bagus kali ini. Rasa sangat bangga dan gembira kerana prestasi saya sebelum ini ada banyak kesilapan, jadi pingat emas ini membuatkan ia lebih bermakna.
“Memang rezeki saya di sini selain menjadi hadiah hari jadi paling bermakna untuk saya kerana bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-18 pada 27 Ogos nanti,” katanya ketika ditemui selepas tamat saingan.
Gimnas Pahang, Muhammad Khalish Safiy Khairulanuar berkongsi pingat emas bersama Marvell dalam acara tersebut selepas turut mencatat 12.675 mata manakala pingat gangsa dikongsi tiga atlet, iaitu Neoh Kean Yong dan Wilson Yeoh (Pulau Pinang) serta Muhammad Khalish Kasyi Mohd. Khairi (Negeri Sembilan) yang meraih 11.525 mata.
Tambah Marvell, kemenangan itu membawa makna lebih besar kepadanya apabila terpaksa berdepan pelbagai cabaran ketika melakukan persiapan bagi menghadapi temasya dwitahunan itu, termasuk dibelenggu kecederaan.
“Memang banyak pengorbanan dilakukan sebelum datang ke sini kerana saya berdepan beberapa kecederaan termasuk bahu, pergelangan tangan dan lutut. Masih terasa sakit, jadi pengorbanan itu berbaloi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Sukma 2026: Pingat emas hadiah hari jadi terbaik Marvel appeared first on Kosmo Digital.






