MAS kembali terbang ke Busan, Firely teroka laluan Kunming

Business & FinanceTravel
4 Sep 2026 • 1:42 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: MAS kembali terbang ke Busan, Firely teroka laluan Kunming

SEPANG – Malaysia Airlines (MAS) akan menyambung semula penerbangan ke Busan bermula 2 Disember depan, sekali gus menghubungkan semula Kuala Lumpur dengan bandar kedua terbesar Korea Selatan selepas kali terakhir mengendalikan laluan itu antara tahun 1996 hingga 1998.

Penerbangan itu akan dikendalikan sebanyak empat kali seminggu menggunakan pesawat Boeing 737-8, seterusnya melengkapkan perkhidmatan sedia ada MAS ke Seoul dengan memberikan lebih banyak pilihan kepada penumpang.

Pengumuman itu merupakan antara perkembangan baharu Malaysia Aviation Group (MAG) selaras usaha meneruskan momentum pertumbuhan secara berhemat di bawah Pelan Perniagaan Jangka Panjang 3.0 (LTBP3.0).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, syarikat akan terus berkembang secara strategik dengan memperkukuh rangkaian di pasaran yang mempunyai permintaan selain menghubungkan semula pasaran sedia ada serta meneroka pasaran baharu.

“Ketika kami memperkukuh peranan Kuala Lumpur sebagai hab penerbangan serantau, ia juga sama penting untuk terus meningkatkan pengalaman kepada pelanggan sejak mereka menaiki pesawat.

“Selain itu, pembangunan berterusan MAG Culinary Solutions juga akan menyokong usaha ini dengan membolehkan syarikat menyediakan pengalaman sajian dalam penerbangan yang lebih konsisten dan berkualiti tinggi.

“Secara keseluruhannya, pelaburan ini akan memperkukuh asas kumpulan, meningkatkan daya saing serta meletakkan MAG pada kedudukan lebih baik,” katanya di sini tadi.

Dalam perkembangan sama, anak syarikat MAG, Firefly juga turut memperluas rangkaian ke barat daya China menerusi penerbangan baharu ke Kunming menggunakan pesawat Boeing 737-800.

Perkhidmatan baharu itu akan memperluas rangkaian antarabangsa Firefly selain melengkapi kehadiran lebih meluas MAS di China.

Menurut MAG, MAS turut meningkatkan kesalinghubungan dengan menambah kapasiti penerbangan ke Fukuoka, Brisbane dan Surabaya susulan peningkatan permintaan.

“Perkhidmatan ke Fukuoka akan ditingkatkan daripada lima penerbangan seminggu kepada operasi harian mulai 1 Disember depan, selepas laluan itu disambung semula pada 2 September.

“Sementara itu, penerbangan ke Brisbane akan ditingkatkan daripada enam penerbangan seminggu kepada operasi harian mulai 25 Oktober dengan syarikat penerbangan itu menggunakan pesawat generasi baharu A330neo bagi laluan berkenaan,” katanya.

Mulai 1 November depan pula, MAS turut menambah dua penerbangan seminggu ke Surabaya, meningkatkan jumlah penerbangan daripada 14 kepada 16 kali seminggu.

Selain itu, MAG berkata, tahap kepuasan pelanggan terhadap sajian dalam penerbangan meningkat daripada 72 peratus kepada 78 peratus, manakala prestasi ketepatan masa katering kini konsisten pada 99.9 peratus.

“Fasa seterusnya menyaksikan pembangunan kemudahan katering dalam penerbangan milik MAGCS berhampiran dengan kerja-kerja tanah telah dimulakan pada Julai lalu.

“Kemudahan itu disasarkan siap pada suku keempat 2028, manakala operasi dijangka bermula pada suku kedua 2029,” jelasnya.

Katanya, kemudahan berkenaan mampu menghasilkan kira-kira 50,000 hidangan sehari, hampir dua kali ganda kapasiti pengendalian semasa, selain mewujudkan peluang pekerjaan serta menyokong operasi syarikat penerbangan MAG dan syarikat penerbangan pihak ketiga. – KOSMO! ONLINE

The post MAS kembali terbang ke Busan, Firely teroka laluan Kunming appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved