China buka semula laluan ke sempadan Nepal

2 Sep 2026 • 3:09 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: China buka semula laluan ke sempadan Nepal

BEIJING: China membuka semula satu-satunya laluan darat menuju pintu sempadan Gyirong dengan Nepal, seminggu selepas jalan berkenaan musnah akibat banjir besar, sekali gus membolehkan jentera berat memasuki kawasan bencana buat kali pertama.

Pasukan penyelamat bertungkus-lumus membaiki Lebuh Raya Nasional G216 selepas aliran lumpur memusnahkan sebahagian jalan itu susulan runtuhan glasier yang mencetuskan tanah runtuh serta banjir di sistem sungai di kedua-dua belah sempadan China-Nepal pada 26 Ogos lalu.

Sebelum laluan itu dibuka semula hari ini China menggunakan pesawat untuk menghantar peralatan dan bekalan kepada pasukan penyelamat di kawasan bencana, manakala anggota tentera menggunakan peralatan pengesan hayat bagi mencari mangsa yang masih hilang, menurut penyiar kerajaan, CCTV.

Kerja-kerja pembaikan berdepan hujan berterusan dan bentuk muka bumi yang sukar, dengan pasukan penyelamat terpaksa bekerja di gaung gunung sempit yang diapit tebing tidak stabil dan sungai berarus deras.

Pihak berkuasa turut memantau tasik di kawasan hulu yang berisiko menyebabkan banjir sekiranya berlaku limpahan atau tebing pecah.

Walaupun risiko daripada tasik berkenaan semakin berkurangan, ancaman tanah runtuh masih membimbangkan, menurut pihak berkuasa China.

Sejumlah besar jentera berat kini tiba di lokasi bekas kompleks pemeriksaan sempadan China, bersama peralatan tambahan bagi memperkukuh operasi mencari dan menyelamat, lapor CCTV.

Rakaman CCTV menunjukkan beberapa pasukan penyelamat dan jentera pengorek giat menjalankan operasi mencari mangsa yang masih hilang.

Menurut penyiar itu, pasukan dilengkapi peralatan pengesan hayat serta anjing pengesan dikerahkan ke kawasan paling terjejas, termasuk kawasan pintu sempadan, tebing sungai, gaung dan laluan jalan yang rosak.

China pada 30 Ogos melaporkan seramai 546 orang masih belum ditemui di Tibet, termasuk 261 warga asing dari 23 negara, manakala angka kematian ketika itu ialah 16 orang.

Di Nepal pula, angka kematian akibat bencana berkenaan melebihi 1,000 orang pada 2 September.- AGENSI

The post China buka semula laluan ke sempadan Nepal appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved