PRN Johor: Pas ‘move forward’ enggan panjangkan isu rundingan kerusi dengan UMNO

LocalPolitics
26 Jun 2026 • 12:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: PRN Johor: Pas ‘move forward’ enggan panjangkan isu rundingan kerusi dengan UMNO
Dr Ahmad Samsuri

MUAR – Pas tidak mahu memanjangkan isu rundingan pembahagian kerusi dengan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada cabaran politik yang bakal dihadapi.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara paling penting ketika ini adalah mengatur gerak kerja ke hadapan dan bukannya terus membincangkan isu rundingan yang telah berlalu.

"Saya rasa apa yang penting sekarang ialah bagaimana kita bergerak ke hadapan bermula hari ini. Sebelum ini pelbagai perbincangan telah diadakan, bukan sahaja dengan UMNO tetapi juga dengan semua pihak.

"Saya tidak akan panjangkan perkara itu kerana apa yang penting sekarang ialah bagaimana kita bergerak ke hadapan mulai hari ini. Cabaran yang ada di hadapan lebih besar berbanding apa yang telah kita lalui," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan rundingan antara Pas dan UMNO Johor berhubung pembahagian kerusi PRN Johor tidak mencapai kata sepakat.

Beliau ditemui pada Majlis Pengumuman Calon Pas-PN bagi PRN Johor di sini pada Khamis.

Mengulas sama ada rundingan itu boleh dianggap gagal, Ahmad Samsuri menegaskan dalam politik tiada istilah kegagalan kerana setiap perkembangan mempunyai hikmah dan mampu membuka ruang kepada peluang yang lebih baik pada masa hadapan.

"Apa juga boleh berlaku dalam politik. Tidak ada istilah gagal dalam politik. Apa yang sesetengah pihak lihat sebagai gagal, mungkin sebenarnya ada kebaikan di sebaliknya dan mungkin mencipta sesuatu yang lebih baik pada masa depan," katanya.

Sementara itu, mengulas dakwaan mengenai kemungkinan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyertai Pas selepas keluar UMNO, beliau berkata parti itu sentiasa mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin menyertainya.

"Sebagaimana peranan parti-parti politik di negara ini, termasuk Pas, kita mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin bersama Pas.

"Terpulang kepada individu berkenaan sama ada mereka ingin menyertai atau membuat pertimbangan yang berbeza. Pintu Pas sentiasa terbuka kepada mana-mana individu," katanya.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved