Masalah adat, istana diwarisi daripada kerajaan terdahulu – MB Negeri Sembilan

LocalPolitics
24 Sep 2026 • 3:37 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kemelut yang melanda Institusi Adat dan Raja di Negeri Sembilan ketika ini bukan berpunca daripada pentadbiran semasa, sebaliknya merupakan masalah yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu.

Image from: Masalah adat, istana diwarisi daripada kerajaan terdahulu – MB Negeri Sembilan

Foto: Bernama

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, kegagalan Menteri Besar terdahulu melaksanakan tanggungjawab seperti yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 menjadi antara faktor yang menyebabkan kemelut berkenaan berlarutan.

Menurutnya, keengganan menyempurnakan proses yang sepatutnya dilaksanakan pada ketika itu menyebabkan isu berkenaan semakin berlarutan dan menjadi lebih rumit.

“Kerajaan Negeri menegaskan bahawa kemelut Institusi Adat dan Raja yang berlaku hari ini bukan berpunca daripada pentadbiran semasa, tetapi merupakan masalah yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata, kerajaan negeri ketika ini menerima mandat rakyat dengan majoriti lebih dua pertiga, sekali gus membawa tanggungjawab untuk memulihkan kestabilan pentadbiran serta memastikan keluhuran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 terus dipertahankan.

Beliau berkata, pada masa sama, kerajaan negeri komited memelihara kemuliaan Institusi Adat dan Raja yang menjadi sebahagian daripada identiti serta asas pemerintahan Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Ismail menolak dakwaan bahawa kerajaan negeri atau beliau mempunyai kuasa untuk “menurunkan” Yang di-Pertuan Besar.

Jelasnya, Negeri Sembilan mempunyai sistem pemerintahan beraja yang tersendiri dan unik berasaskan Adat Perpatih serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Katanya, pelantikan Yang di-Pertuan Besar bukan ditentukan oleh Menteri Besar atau kerajaan negeri, sebaliknya Undang-Undang Tubuh memperuntukkan peranan khusus kepada Undang Yang Empat dalam proses pemilihan berkenaan.

“Yang di-Pertuan Besar tidak dipilih oleh Menteri Besar atau Kerajaan Negeri. Undang-Undang Tubuh memperuntukkan peranan khusus kepada Undang Yang Empat dalam pemilihan Yang di-Pertuan Besar, manakala perkara berkaitan adat serta proses yang menyentuh kedudukan institusi berkenaan hendaklah dilaksanakan menurut peruntukan Undang-Undang Tubuh dan melalui institusi yang mempunyai bidang kuasa,” dedahnya.

Artikel lain: EXCO N9 tak boleh masuk pejabat? Ismail Lasim gesa larangan ditarik balik!

Sehubungan itu, beliau menegaskan tidak wajar untuk menggambarkan seolah-olah Menteri Besar atau barisan EXCO mempunyai kuasa secara unilateral bagi menentukan siapa yang menaiki atau meninggalkan takhta.

“Justeru, adalah tidak benar untuk menggambarkan seolah-olah Menteri Besar atau EXCO Kerajaan Negeri mempunyai kuasa secara unilateral untuk menentukan siapa yang menaiki atau meninggalkan takhta. Kerajaan Negeri tidak pernah mendakwa mempunyai kuasa sedemikian,” tambahnya lagi.

Sumber: Facebook Ismail Lasim

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved