Masalah banjir Sugud berakhir tahun depan

29 Sep 2022 • 3:25 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

PENDUDUK di Sugud yang sering dilanda banjir dijangka akan dapat menarik nafas lega menjelang pertengahan tahun depan dengan projek tebatan banjir di sepanjang Sungai Sugud kini sedang dijalankan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata kerja-kerja pembinaan untuk melebarkan dan mendalamkan Sungai Sugud sejauh 1.13km akan mengambil masa kira-kira sembilan bulan untuk disiapkan.

“Masalah (penebusgunaan tanah) yang menghalang projek ini untuk dimulakan kini telah diselesaikan.

“Jadi kita boleh mulakan, jentera dan kontraktor sudah berada di tapak,” katanya pada sidang media selepas melawat tapak projek itu di Penampang pada 21 Sept.

Sungai Sugud akan dilebarkan menjadi bentuk trapezoid, dengan lebar atas 20 meter dan lebar bawah 10 meter. Ia akan dikorek hingga kedalaman tiga hingga empat meter.

Projek bernilai RM9 juta itu juga memerlukan penebusgunaan tanah di kampung-kampung berhampiran untuk memberi laluan kepada sungai yang dilebarkan, yang telah diberikan persetujuan oleh pemilik tanah.

Kitingan berkata projek tebatan itu sepatutnya dapat mengurangkan kedalaman banjir di sekitar sekolah dan kampung sekitar ke paras buku lali, dengan mempercepatkan aliran air banjir ke Sungai Moyog.

Bagaimanapun, beliau berkata projek itu hanya akan meringankan situasi kerana penyelesaian menyeluruh masih tertakluk kepada dua projek dalam Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Moyog, yang dianggarkan mengambil masa enam tahun untuk disiapkan.

“Walaupun kita boleh menyiapkan projek ini dan menambah baik aliran air di sini (di Sugud), ia masih tertakluk kepada Sungai Moyog. Ini hanya sebahagian daripada masalah (lebih besar),” kata Menteri Pertanian dan Perikanan Negeri itu.

Kitingan menjelaskan, sungai Petagas dan Putatan yang bersambung dengan Sungai Moyog perlu di dalamkan dan dilebarkan bagi memastikan paras air Sungai Moyog tidak naik dan menyebabkan aliran balik air ke Sungai Sugud.

Beliau berkata projek Sungai Petagas iaitu Pakej 3 di bawah projek pembangunan bersepadu masih belum dimulakan, manakala projek Sungai Putatan (Pakej 2A) ketika ini sedang dijalankan namun berdepan isu yang perlu diselesaikan.

“Penyelesaian lengkap akan merangkumi (mendalam dan melebarkan) sungai (Petagas dan Putatan).

“Ini akan mengambil masa,” katanya.

Dengan beberapa projek tebatan yang dirancang, Kitingan berkata Sugud telah diberi keutamaan kerana ia antara kawasan yang paling teruk dilanda semasa musim hujan.

“Setahun lalu (pada 15 Sept), Sugud mengalami banjir yang sama sekali di luar kebiasaan dan kini banjir sering berulang. Jadi ini sebabnya kita memberi keutamaan kepada Sugud,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.