Masalah parit, 40 hektar sawah terjejas

29 Oct 2026 • 6:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Masalah parit, 40 hektar sawah terjejas

PARIT BUNTAR: Lebih 40 hektar sawah di Kompatmen C dari Parit Teluk Pial hingga Parit Abas, di Kuala Kurau di sini terjejas akibat air bertakung susulan parit buang yang tidak diselenggara sekali gus mengancam benih padi yang baru ditabur.

Wakil pesawah, Abdul Baharin Mat Desa, 60, berkata, keadaan itu membimbangkan petani berikutan hujan berterusan ketika sebahagian tanaman masih berusia kurang dua minggu.

Menurutnya, parit buang sepanjang kira-kira lima kilometer itu didakwa tidak diselenggara sepenuhnya sehingga menghalang air keluar dari petak sawah manakala kerja membersihkannya di luar kemampuan petani untuk dilaksanakan secara bergotong royong.

“Kami faham hujan lebat tidak boleh ditahan tetapi kerja di peringkat bawah perlu dibuat supaya saliran bersih dan air dapat mengalir lancar. Kalau parit diselenggara masalah air bertakung ini boleh dikurangkan,” katanya kepada pemberita di Parit Teluk Pial, semalam.

Menurutnya, masalah sama pernah berlaku pada musim terdahulu, namun sebahagian besar tanaman ketika itu kembali pulih selepas air surut.

Seorang pesawah, Naim Firdaus Othman 35, pula berkata, rumput yang tumbuh di dalam parit menghalang aliran air dan menyukarkan usaha mengeringkan petak sawah selepas benih ditabur.

Menurutnya, sawah seluas kira-kira 1.7 ekar yang diusahakannya turut terjejas manakala hujan berterusan menyebabkan benih hanyut dan pucuk tanaman muda tenggelam lebih lama.

“Di blok kami banyak padi masih muda. Ada yang baru ditabur dua hari dan ada yang belum sampai dua minggu. Kami minta tindakan dipercepat sebelum semuanya tenggelam,” katanya.

Katanya, sekiranya terpaksa menabur benih padi semula, pesawah perlu menanggung tambahan kos benih yang menurutnya berharga sekitar RM65 sebeg selain upah traktor dan kerja penyediaan sawah.

Sementara itu, Mohd Safuan Arbain, 38, yang berpengalaman kira-kira 15 tahun mengusahakan sawah berharap, pemeriksaan saliran dilaksanakan sebelum musim penanaman bermula bagi mengenal pasti masalah lebih awal.

“Kami harap JPS dan IADA turun padang sebelum pesawah mula buat bendang. Periksa dahulu saliran parit, sama ada dalam keadaan baik atau tidak,” katanya. – UTUSAN

The post Masalah parit, 40 hektar sawah terjejas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved