
PARIT BUNTAR – Beberapa rumah penduduk di Parit Telok Pial, Kuala Kurau dinaiki air limpahan dari kawasan sawah yang bertakung sejak hampir seminggu lalu dipercayai berpunca daripada parit saliran yang tidak diselenggara.
Seorang pesawah, Hanapiah Ahmad Hussin, 58, berkata, kediamannya sudah tiga hari digenangi air, manakala lebih empat hektar sawah yang diusahakannya turut tenggelam.
Menurutnya, kejadian pertama kali dialami sepanjang hidup itu memaksanya bersama keluarga dan jiran memindahkan benih, baja serta peralatan bermotor dan elektrik ke tempat lebih tinggi.
“Kelmarin, kami mengambil masa lebih dua jam untuk memindahkan barang. Sawah sudah hampir seminggu tenggelam, sekarang rumah pula dimasuki air,” katanya kepada pemberita di Parit Telok Pial di sini hari ini.
Katanya, keadaan bertambah tidak selesa apabila air yang menggenangi kawasan kediaman turut membawa lintah sehingga menimbulkan kebimbangan keluarganya.
“Waktu pagi boleh nampak banyak lintah berenang di sekitar rumah. Memang geli dan takut, tetapi mahu atau tidak, kami terpaksa hadap juga,” katanya.
Hanapiah berkata, dia perlu menunggu air surut sebelum menilai kerosakan tanaman dan sekiranya padi mati, dia terpaksa mengeluarkan modal tambahan ribuan ringgit untuk mengusahakan semula sawah.
Dia mengesa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian segera membersihkan parit buang yang didakwa dipenuhi semak menggunakan jentera jengkaut bagi mempercepatkan aliran keluar air.
Seorang lagi penduduk yang dikenali sebagai Wan, berusia 30-an, mendakwa pintu air di Parit Tok Hin dibuka lewat meskipun air laut sudah surut sejak awal pagi, sekali gus mengehadkan tempoh pelepasan air dari kawasan terjejas.
“Air laut surut pada waktu subuh, tetapi pintu air dibuka pukul 8 pagi dan pukul 11 pagi sudah ditutup. Bila air hendak surut? Dahulu penjaga pintu air turut mengusahakan sawah, jadi mereka lebih peka,” katanya.
Sementara itu, menurut penduduk, sesi soal jawab bersama pesawah yang dijadualkan di pintu air Parit Tok Hin pagi ini tidak berlangsung apabila tiada wakil JPS hadir seperti dijanjikan.
Tinjauan dilokasi mendapati air masih bertakung tanpa perubahan ketara di kawasan terjejas yang melibatkan lebih 40 hektar sawah di Kompatmen C Tanjung Piandang dan Kuala Kurau. – KOSMO! ONLINE
The post Parit saliran tidak diselenggara, sawah tenggelam dan rumah dinaiki air appeared first on Kosmo Online.






