MAKKAH – Penerbangan KT051 (MH8110) yang membawa jemaah haji Malaysia mengambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Muscat, Oman pada jam 4.11 petang waktu tempatan susulan isu teknikal pesawat.
Lembaga Tabung Haji (TH) dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua 278 jemaah haji berada dalam keadaan selamat dan keluarga mereka tidak perlu bimbang.
Menurut kenyataan itu, penerbangan berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Isnin, jam 2.06 petang waktu Malaysia dan dijadualkan tiba di Jeddah sekitar jam 5.50 petang hari yang sama.
“Pihak AMAL by Malaysia Airlines akan membuat penilaian ke atas pesawat sebelum membuat keputusan selanjutnya mengenai penerbangan tersebut.
“Sekiranya perlu, semua jemaah akan ditempatkan di hotel sebelum meneruskan perjalanan ke Jeddah,” menurut kenyataan itu.
TH turut memaklumkan bahawa sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.






