MASFIH mohon usaha kesan 54 rakyat Malaysia diteruskan

4 Oct 2026 • 2:04 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: MASFIH mohon usaha kesan 54 rakyat Malaysia diteruskan

PETALING JAYA: Malaysia Solidarity Families in Hope (MASFIH) memohon usaha mengesan 54 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi susulan tragedi banjir besar di Rasuwagadhi, Nepal diteruskan meskipun operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah ditamatkan.

Jurucakap MASFIH, Ts. Dr. Manivannan Rethinam berkata, pihaknya memahami keputusan Nepal yang mengambil kira keadaan operasi, keselamatan, akses dan penilaian pihak berkuasa tempatan.

Bagaimanapun, beliau berkata, saluran diplomatik dengan Nepal dan China perlu terus digunakan secara aktif bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai usaha pencarian, pengesahan identiti serta sebarang maklumat baharu berkaitan.

Sehubungan itu, beliau menyarankan supaya 20 lagi sampel DNA rakyat Malaysia yang berkaitan diserahkan kepada pihak berkuasa China untuk tujuan padanan.

“Ini penting memandangkan tiga sampel DNA rakyat Malaysia yang telah diserahkan setakat ini adalah daripada kumpulan 23 rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan bersama.

“Dengan penyerahan 20 sampel tambahan tersebut, kesemua 23 sampel daripada kumpulan berkenaan dapat tersedia untuk tujuan perbandingan dan pengenalpastian.

“MASFIH memohon agar perkara ini dilaksanakan tanpa kelewatan yang tidak perlu, sekiranya tiada halangan prosedur,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Manivannan berkata, pihaknya sebelum ini memohon kepada Wisma Putra supaya maklumat katalog barangan peribadi yang ditemukan di Gyirong Port dikongsikan dengan waris.

Namun, beliau berkata, sehingga kini, MASFIH masih belum menerima perkembangan lanjut mengenai permohonan tersebut.

“Sehubungan itu, MASFIH memohon agar kerajaan Malaysia melalui saluran diplomatik dengan China mendapatkan penjelasan dan bantuan supaya waris diberikan akses secara digital kepada katalog atau senarai inventori barangan yang telah ditemui, bagi membolehkan semakan dan pengecaman dibuat,” katanya.

Selain usaha mendapatkan maklumat pencarian, beliau turut memohon Jabatan Peguam Negara (AGC) memperjelas laluan undang-undang berkaitan anggapan kematian atau ‘presumed death’.

Katanya, usaha mendapatkan kepastian mengenai nasib 54 rakyat Malaysia dan persediaan bagi proses undang-undang itu boleh digerakkan secara selari, tertakluk kepada undang-undang yang berkuat kuasa.

“Ini tidak bermaksud keluarga telah berputus asa atau usaha pencarian dihentikan. Sebaliknya, ia adalah langkah persediaan supaya sekiranya usaha pencarian dan pengesahan tidak menghasilkan jawapan, proses seterusnya tidak perlu bermula dari sifar,” katanya.

Menurut Manivannan, penjelasan itu juga penting bagi memberikan panduan kepada keluarga mengenai hak serta keperluan undang-undang untuk mengakses atau mengurus harta pusaka, aset, simpanan, deposit tetap dan pelaburan.

Katanya, panduan tersebut juga diperlukan bagi urusan insurans, takaful, manfaat kematian serta pentadbiran keluarga.

“Harapan untuk keajaiban dan kepastian undang-undang boleh wujud serentak.

“MASFIH memohon agar pertemuan dengan AGC diadakan dalam tempoh dua hingga tiga hari bagi menerangkan pilihan dan proses undang-undang berkaitan,” katanya. – UTUSAN

The post MASFIH mohon usaha kesan 54 rakyat Malaysia diteruskan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved