
KUALA LUMPUR - Perbincangan mengenai senarai calon MCA untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka masih terbuka susulan ketidakpuasan parti itu terhadap calon Barisan Nasional (BN).
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ruang rundingan masih terbuka sekiranya terdapat calon yang tidak dipersetujui memandangkan proses pengesahan watikah belum selesai sepenuhnya.
Beliau turut mengesahkan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong terkejut apabila tidak dimaklumkan lebih awal mengenai pengumuman calon PRN Melaka, malam tadi.
Tambah Zahid, perbincangan akan diadakan sebelum 31 Oktober ini berhubung perkara tersebut.
“Saya (berjumpa) dengan Yang Berhormat Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebelum majlis itu dan benar, beliau pun terkejut kerana tidak dimaklumkan oleh sekretariat mengenai pengumuman calon itu.
“… dan ada peluang lagi kalau calon itu tidak dipersetujui kerana saya belum menandatangani watikah. Jadi, terserah kepada Presiden MCA untuk melakukannya,” katanya,’’ katanya selepas merasmikan Program Larian Jambatan Sultan Nazrin Shah Bagan Datuk 2026 di Perak, hari ini.
Zahid berkata demikian ketika mengulas dakwaan MCA bahawa parti itu tidak dimaklumkan mengenai majlis pengumuman calon PRN Melaka yang berlangsung malam tadi.
Terdahulu, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata MCA tidak akan mengiktiraf mana-mana calon parti itu yang diumumkan BN bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 tanpa mendapat persetujuan kepimpinan tertinggi.
Beliau berkata tindakan itu merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi apabila kerusi yang sebelum ini ditandingi MCA didakwa diberikan kepada parti lain.
Malah, katanya, MCA tidak dimaklumkan lebih awal bahawa majlis BN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) malam tadi akan membabitkan pengumuman calon, sebaliknya dimaklumkan ia hanya majlis pelancaran jentera pilihan raya.
Malam tadi, BN telah mengumumkan calon gabungan itu yang akan bertanding di 21 Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuk dua calon MCA, iaitu penyandang DUN Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem dan penyandang DUN Kelebang Datuk Lim Ban Hong. - 25 Oktober, 2026
The post ‘Masih ada peluang’ rundingan calon MCA masih terbuka : Zahid appeared first on Scoop.






