MELAKA - Tindakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong meninggalkan dewan ketika majlis pengenalan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka malam ini mencetuskan persoalan mengenai pendirian parti itu berhubung pengagihan kerusi.
Ka Siong turut difahamkan mengarahkan ahli MCA supaya meninggalkan dewan berkenaan ketika majlis berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini.
Perkembangan itu mencetuskan tanda tanya sama ada tindakan berkenaan mempunyai kaitan dengan ketidakpuasan hati MCA terhadap pembahagian kerusi yang diperuntukkan kepada parti itu bagi menghadapi PRN Melaka.
Difahamkan, isu agihan kerusi menjadi antara perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan parti berkenaan.
Menurut Ka Siong, MCA tidak dimaklumkan mengenai perubahan atur cara majlis yang pada awalnya diberitahu hanya melibatkan pelancaran jentera, sebelum turut disusuli pengumuman calon.
Beliau mendakwa, keputusan pengagihan kerusi turut dibuat tanpa perbincangan menyeluruh dengan MCA.
Ka Siong berkata, MCA telah menyuarakan bantahan terhadap pembahagian kerusi itu dan meminta rundingan diteruskan, namun mendakwa keputusan tetap dimuktamadkan tanpa persetujuan parti berkenaan.
Beliau turut menegaskan pengumuman calon yang dibuat tanpa persetujuan MCA tidak akan diiktiraf oleh parti itu.
“Jika pengerusi MCA sendiri tidak menandatanganinya, bagaimana ia boleh diiktiraf?” katanya.
Mengulas tindakan meninggalkan majlis, Ka Siong berkata beliau tidak hadir untuk menunjukkan rasa tidak puas hati secara peribadi, sebaliknya mahu mempertahankan maruah serta hak MCA sebagai parti komponen BN.
Beliau turut meminta kepimpinan tertinggi BN di peringkat pusat campur tangan bagi menyelesaikan kemelut berkenaan, sambil menegaskan keputusan berkaitan calon perlu dibuat melalui perbincangan bersama.
Majlis berkenaan diteruskan dengan pengenalan calon BN bagi mempertahankan kedudukan parti itu dalam PRN Melaka yang dijadualkan berlangsung pada 14 November ini.
Sebelum ini, BN menetapkan untuk bertanding di 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, manakala baki tujuh kerusi diperuntukkan kepada PAS dan rakan strategik.
Penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober, manakala pengundian awal pada 10 November. - Awani






