
KUALA LUMPUR - MCA tidak akan mengiktiraf mana-mana calon parti itu yang diumumkan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 tanpa mendapat persetujuan kepimpinan tertinggi.
Menurut Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong tindakan itu merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi apabila kerusi yang sebelum ini ditandingi MCA didakwa diberikan kepada parti lain.
Malah, katanya, MCA tidak dimaklumkan lebih awal bahawa majlis BN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) malam tadi akan membabitkan pengumuman calon, sebaliknya dimaklumkan ia hanya majlis pelancaran jentera pilihan raya.
“Jika mereka umumkan pun, kami tidak akan mengakuinya. Jika pengerusi MCA sendiri tidak menandatanganinya, bagaimana ia boleh diiktiraf?
“Calon mestilah datang daripada cadangan pucuk pimpinan parti. Ini adalah prosedur operasi standard (SOP) setiap parti politik,” katanya, lapor Bernama.
Pada majlis yang diadakan malam tadi, BN mengumumkan calon gabungan itu yang akan bertanding di 21 Dewan Undangan Negeri (DUN), menyaksikan dua wakil MCA bertanding iaitu penyadang DUN Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem dan penyandang DUN Kelebang Datuk Lim Ban Hong
Difahamkan, Wee bersama kepimpinan MCA meninggalkan majlis berkenaan sebelum ucaptama oleh Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta pengumuman calon dan kemudiannya mengadakan sidang media di luar dewan.
Wee menegaskan MCA merupakan sahabat lama Umno dan kedua-dua parti telah bersama selama berpuluh-puluh tahun dan apa yang berlaku itu menimbulkan tanggapan MCA hanya berdiam diri dan mengalah sedangkan MCA ialah sebuah parti yang bermaruah.
Ditanya sama ada perkara itu bermakna MCA tidak akan menyertai pilihan raya negeri kali ini, beliau berkata masih ada beberapa hari lagi sebelum hari penamaan dan berharap perkara itu masih dapat diperbetulkan.
Perkara itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kepimpinan MCA kerana rundingan berhubung pembahagian kerusi di Melaka belum dimuktamadkan, termasuk membabitkan dua kerusi yang sebelum ini ditandingi parti berkenaan.
Wee turut menggesa kepimpinan tertinggi BN di peringkat pusat campur tangan bagi menyelesaikan pertikaian itu secara adil, sambil menegaskan keputusan berkaitan calon MCA tidak seharusnya dibuat secara sepihak. - 25 Oktober, 2026
The post PRN Melaka: MCA tinggalkan dewan, tidak iktiraf calon diumumkan BN appeared first on Scoop.






