
Kota Kinabalu: Sabah FC membelasah Geylang International FC 6-0 pada aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium Likas, malam Sabtu lalu.
Pada perlawanan itu, pasukan pelawat dari Liga Perdana Singapura menerima asakan bertali arus sejak dari mula.
Pasukan tuan rumah mendahului 2-0 pada separuh masa pertama dengan pemain import yang baru ditandatangani Gabriel Peres dari Brazil membuka jaringan pada minit kesembilan menerusi tandukan, sebelum Daniel Ting menjaringkan gol kedua pada minit ke-13.
Darren Lok kemudian menggandakan kelebihan menerusi sepakan penalti pada minit ke-62 berikutan kekasaran terhadap seorang lagi pemain import dari Brazil, Jailton Da Silva.
Dalam tempoh lima minit, Saddil Ramdani menambah satu lagi jaringan sebelum pemain veteran berusia 42 tahun, Amri Yahya, turun dari bangku simpanan untuk menjaringkan dua gol pada minit ke-76 dan pada masa kecederaan.
Di sebalik kemenangan yang memberangsangkan, ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee berkata masih ada ruang untuk peningkatan sebelum perlawanan pembukaan musim menentang PDRM FC pada 25 Februari.
“Keputusan bukan keutamaan saya. Apa yang penting adalah untuk pasukan mencari kombinasi yang betul dan bagaimana pemain menguruskan tugas di atas padang seperti yang diarahkan.
“Walaupun terdapat sedikit peningkatan berbanding apa yang kita lihat di Thailand, perjalanan masih jauh dan ada dua lagi perlawanan persahabatan untuk dimainkan,” katanya selepas perlawanan.
Beliau juga berharap dapat membina pasukan yang seimbang menjelang musim Liga Super yang panjang, yang hanya akan berakhir pada Disember.
Mereka juga akan terlibat dalam saingan Piala AFC selain Piala FA dan Piala Malaysia.
“Saya bukan hanya memikirkan untuk mencari kesebelasan utama (dari perlawanan itu). Semua pemain adalah penting buat pasukan dan penting untuk semua pemain yang diturunkan hari ini mempunyai keseimbangan sama bagi membolehkan kami menghadapi musim yang agak panjang,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

