

Hanya 154 syarikat dengan 335 kenderaan sudah membuat permohonan subsidi petrol RON95 menerusi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) sejak dibuka kelmarin.
Itu kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.
"Setakat semalam, sistem SKPS lancar berikutan trafik rendah. Jadi, dari segi jumlah memang ia amat rendah jika dibandingkan dengan anggaran kita.

"Mungkin juga kerana semalam cuti umum, maka syarikat-syarikat ini pejabatnya tidak beroperasi. Namun, kita bersyukur kerana ada syarikat yang mengambil inisiatif pada hari pertama.
"Walaupun cuti umum, mereka daftar (SKPS) juga dan ini satu usaha yang bagus kerana mengelakkan mereka menghadapi masalah di saat akhir. Jumlah (syarikat yang memohon) semua (mendapat) kelulusan serta-merta. Dokumen (diberi) lengkap, kita dapat beri kelulusan itu," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Armizan menggesa semua syarikat kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan untuk membuat permohonan manfaat subsidi petrol RON95 bermula semalam.

