Masih ‘miskin’, jangan terfikir nak berhenti kerja

OpinionBusiness & Finance
4 Sep 2026 • 8:01 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Masih ‘miskin’,  jangan terfikir  nak berhenti kerja

Tahun 90-an, tiada istilah burn out, toksik di tempat kerja, yang boleh membuatkan pekerja pada era itu murung tetapi ramai yang bekerja terus bekerja dengan semangat kerja yang cukup luar biasa meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran dan dugaan.

Kos sara hidup masa itu masih rendah dengan pendapatan bulanan yang tidak seberapa tetapi mampu menghantar duit belanja kepada keluarga di kampung, tidak perlu menjerat diri dengan hutang pelbagai untuk menikmati hidup senang.

Kini segala-galanya berubah dengan ledakan teknologi terkini, digital dan kecerdasan buatan (AI) yang membuatkan segala-galanya bersandarkan kepada kuasa wang malah lebih menarik, kita tidak perlu memegang wang tunai yang banyak untuk berbelanja hanya menggunakan kad, QR dan juga aplikasi perbankan terkini.

Bersandarkan kepada peralihan yang begitu drastik, peluang pekerjaan yang dulunya begitu tinggi kini semakin terhad dan lebih menyedihkan ada sahaja berita kumpulan pekerja yang dibuang kerja dan ditawarkan VSS atau MSS.

Bermulalah di situ lambakan pencari pekerjaan dan penganggur yang terpaksa memulakan langkah semula untuk merangka resume terkini, menghadiri temu duga kerja dan membina kerjaya baharu. Pastinya, ia agak pahit untuk dilaluinya tetapi bagi setiap kesulitan akan ada pengakhirannya yang terbaik.

Bagi yang selesa berada di kedudukan kerjaya masing-masing, teruskan berkhidmat kepada majikan dan syarikat kerana di situlah tempat kita memperoleh ilmu, bertemu rakan seperjuangan dan lebih penting memperoleh gaji bulanan yang dapat meneruskan kelangsungan kehidupan masing-masing.

Memanglah ada cabaran dan dugaan yang dihadapi sehinggakan sesekali, ‘angin gila’ datang menerpa mahu sahaja dihantar surat berhenti kerja kerana sudah tidak tahan lagi menahan sabar, kemarahan, kesakitan dan keaiban dan segalanya yang membuatkan hati begitu rapuh ketika itu.

Lebih memburukkan lagi keadaan, apabila sering dilihat individu yang menaik status di dalam platform media sosial mendedahkan keberanian mereka berhenti kerja tanpa membuat sebarang persediaan kerana semata-mata untuk membebaskan diri daripada segala pemasalahan di tempat kerja.

Itu cara mereka, biarkan mereka, kita masih tidak kaya dan tidak berduit untuk berhenti kerja kerana kita masih ada hutang perlu dilunaskan, ada perbelanjaan persekolahan anak yang perlu disediakan, ada pelbagai bil yang perlu dibayar, ada tabung kecemasan yang perlu di isi dan ada juga impian masing-masing untuk menunaikan umrah, haji, melancong, membina banglo dan menukar kereta baharu yang perlu direalisasikan.

Teruskan berusaha gigih untuk mencapai KPI yang ditetapkan sekurang-kurangnya mencapai KPI diri sendiri untuk kepuasan diri sendiri malah dapat dijadikan contoh tauladan buat anak-anak dan keluarga.

Benarlah, kata pepatah moden, biar letih bekerja daripada letih mencari pekerjaan, jadi sayangilah kerjaya yang kita bina selama ini dengan airmata dan keringat serta pengorbanan.

The post Masih ‘miskin’, jangan terfikir nak berhenti kerja appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved