Pandang Pertama Acer Project DualPlay Mini – Konsep Konsol Permainan Dan Laptop 2-Dalam-1

TechnologyGaming
4 Sep 2026 • 1:41 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pada tahun lepas, Acer telah memperlihatkan sebuah komputer riba gaming konsep yang dinamakan Predator Project DualPlay yang hadir bukan sahaja dengan spesifikasi berkuasa, tetapi juga sebuah alat kawalan terbina didalamnya.

Terbaru, mereka telah memperkenalkan sebuah peranti konsol PC mudah-alih yang dinamakan Project DualPlay Mini yang hadir dengan sebuah papan kekunci padat terbina, menggunakan pengetahuan daripada pengumuman dua konsol Predator Atlas 8 dan Atlas 7 mereka, dengan kepakaran membina komputer riba mereka sendiri.

Image from: Pandang Pertama Acer Project DualPlay Mini – Konsep Konsol Permainan Dan Laptop 2-Dalam-1

Spesifikasi Dan Rekaan

Spesifikasi Project DualPlay Mini secara keseluruhannya tidak diketahui lagi, kerana ia masih lagi hanya sebuah peranti konsep, tetapi dari kenyataan yang dikeluarkan oleh Acer sendiri, cip pemprosesan yang digunakan nampaknya adalah dari Intel, dan oleh kerana ia masih lagi sebuah konsol permainan mudah-alih, kesimpulan boleh dibuat bahawa ia mungkin menggunakan cip pemprosesan Intel Arc G3 Extreme sama yang digunakan pada konsol Acer Predator Atlas 8 dan Atlas 7. Selain daripada itu, butiran memori dan storan masih tidak diketahui lagi.

Image from: Pandang Pertama Acer Project DualPlay Mini – Konsep Konsol Permainan Dan Laptop 2-Dalam-1

Konsol ini turut hadir dengan alat kawalan yang menggunakan kayuria TMR (tunneling magnetoresistance) yang lebih tahan lasak walaupun digunakan untuk memainkan permainan komputer kegemaran anda secara agresif dan mengurangkan kebarangkalian isu stick drift. Butang-butang input juga pada pendapat saya cukup dalam dan selesa untuk ditekan, manakala butang-butang bahu pula menggunakan suis Hall Effect dan mempunyai kesan yang sama seperti alat kawalan TMR.

Project DualPlay Mini hadir dengan paparan skrin sesentuh bersaiz 8.0 inci, sama seperti apa yang digunakan pada Predator Atlas 8. Tetapi keunikannya di sini ialah paparan ini boleh diputar 180 darjah untuk menukar peranti gaming ini menjadi sebuah “komputer riba kerdil”.

Dan secara teknikalnya, ia bukanlah bahagian paparan sahaja yang boleh dipusing, tetapi separa atas badan konsol ini, termasuklah alat kawalan dan butang-butang input perlu dinaikkan untuk menunjukkan bahagian papan kekunci tersebut. Malah, terdapat turutan yang perlu diikut untuk menggunakan perkakasan ini dalam kedua-dua mod tersebut, tetapi proses membiasakan diri anda dengannya tidaklah begitu lama.

Image from: Pandang Pertama Acer Project DualPlay Mini – Konsep Konsol Permainan Dan Laptop 2-Dalam-1

Saya telah mencuba untuk memainkan permainan yang dipasang pada konsol ini, iaitu Forza Horizon 6, tetapi oleh kerana konsol ini masih lagi hanya sebuah peranti konsep, pengalaman bermainnya tidak begitu stabil, dan sentiasa keluar ke desktop.

Image from: Pandang Pertama Acer Project DualPlay Mini – Konsep Konsol Permainan Dan Laptop 2-Dalam-1

Walaupun begitu, saya rasakan bahawa dalam beberapa aspek, seperti keselesaan memegang konsol ini, ia adalah lebih baik berbanding dengan Predator Atlas 8. Bahagian pemegang kawalan konsol ini hadir dengan tekstur dan alur bentuk yang lebih selesa, dan saya tidak tahu jika ia adalah hanya untuk saya, tetapi beratnya tidak terlalu berbeza apabila dibandingkan dengan Atlas 8 juga.

Walaupun ia hanya sebuah peranti konsep, rekaan Project DualPlay Mini ini juga memperlihatkan sejumlah pertimbangan yang membuatkan saya fikir bahawa ini adalah sebuah peranti yang menjadikannya sebuah peranti yang mungkin boleh dikomersilkan kelak.

Image from: Pandang Pertama Acer Project DualPlay Mini – Konsep Konsol Permainan Dan Laptop 2-Dalam-1

Apabila dibuka untuk menjadi sebuah laptop, bahagian engsel paparan nampaknya direka supaya ia tidak menghalang palam-palam I/O di bahagian belakang peranti, dan bahagian sisi paparan juga tidak melanggar butang-butang bahu.

Bahagian papan kekunci konsol ini juga adalah sesuatu yang mengejutkan buat saya, kerana jangkaan awal saya ialah bahagian ini akan hadir dengan rekaan yang terlalu padat, tetapi apabila saya mencubanya sendiri, ia tidak begitu berbeza dengan papan kekunci pada komputer riba padat dan ringan yang lain. Ini adalah kerana keseluruhan ruangan bawah digunakan untuk merumahkan papan kekunci ini, dan kedalamannya juga membolehkan saya menaip dengannya tanpa menyakiti tangan saya.

Image from: Pandang Pertama Acer Project DualPlay Mini – Konsep Konsol Permainan Dan Laptop 2-Dalam-1

Walaupun begitu, saya juga telah melihat beberapa individu lain menghadapi sedikit kesukaran menggunakan papan kekunci ini kerana tapak tangan mereka jauh lebih besar berbanding tangan saya.

Mungkin satu kekurangan yang akan dikatakan ramai adalah tentang tiadanya pad sesentuh pada konsol ini, tetapi paparan skrin konsol ini juga hadir dengan ciri sesentuh, jadi ia mungkin bukan satu masalah. Tetapi jika ada satu isu di sini, ia mungkin adalah dalam tempoh penggunaan ringkas saya, bahagian bawah konsol ini saya rasakan adalah sangat panas sekali, dan ini mungkin kerana prestasi cip yang digunakan belum dioptimasikan, dan hanya siap digunakan untuk acara pengumuman GPC 2026.

Adakah Peranti Ini Akan Dijual Di Pasaran?

Bercakap dengan James Lin, Pengurus Besar bahagian komputer riba di Acer, pembangunan peranti konsep seperti Project DualPlay Mini ini bukanlah sesuatu baru untuk mereka, kerana mereka juga pernah melancarkan produk-produk konsep lain sebelum ini seperti komputer riba Predator Project DualPlay dengan alat kawalan terbina pada tahun lepas, dan Predator 21X yang kemudiannya dijual di pasaran pada angka yang terhad.

Beliau tidak mengatakan bahawa Project DualPlay Mini tidak akan dijual di pasaran, tetapi semua pengetahuan baru yang mereka perolehi sewaktu membangunkan konsol ini akan dipertimbangkan untuk digunakan pada peranti-peranti perkomputeran mereka yang lain di masa hadapan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved