
PETALING JAYA: Tuntutan kerja dan kesibukan memaksa ramai melakukan pembelian saat akhir bagi persiapan makan besar Tahun Baru Cina malam ini.
Seorang pengunjung di Pasar Besar Jalan Othman di sini yang hanya mahu dikenali sebagai Ping, 58, meluahkan rasa lega kerana sempat mendapatkan beberapa barangan keperluan pada saat akhir selepas menyelesaikan urusan kerja.
“Saya di sini untuk mendapatkan beberapa barang yang kurang di rumah, jadi saya beli, manalah tahu diperlukan hujung minggu ini,“ kata akauntan itu kepada Bernama.
Bagi Magdalend, 71, walaupun membeli-belah pada saat akhir, beliau akan memastikan perayaan itu disambut dalam suasana riang selain teruja untuk memasak hidangan bagi meraikan adik-beradik dan saudara-mara yang berkunjung ke rumahnya di sini.
“Saya akan menyediakan mi untuk makan tengah hari Tahun Baru Cina...34 orang adik-beradik dan saudara-mara saya akan datang ke rumah dan ini ialah pembelian saat akhir untuk mendapatkan semua bahan yang diperlukan,“ katanya.
Bagi peniaga pula, perniagaan tetap diteruskan walaupun esok hari besar masyarakat Tionghua demi memastikan bekalan bahan mentah dapat dihabiskan sebelum cuti panjang.
Seorang penjual sayur-sayuran di pasar itu, Ah Har, 68, berkata hampir separuh daripada jualannya telah dibeli setakat 10.30 pagi selepas memulakan perniagaan seawal 5 pagi.
Penjual ayam Shelly Lim, 70, pula berkata orang ramai mula melakukan pembelian ayam seawal tiga hari lepas kerana khuatir harga bahan mentah itu akan naik menjelang Tahun Baru Cina.
“Hari ini ramai orang Cina datang beli ayam kampung dan seawal 10.40 pagi, stok ayam kampung sudah habis dijual,“ katanya.
Menurut Lim, kebanyakan masyarakat Tionghua membeli ayam lebih awal untuk dimasak dan dihidangkan selepas upacara sembayang tengah hari ini.
Berbeza bagi penjual taufu dan tauge Ng Siew Kim, beliau berkata hasil jualannya tahun ini tidak seberapa memberangsangkan seperti tahun-tahun sebelum pandemik COVID-19.
“Masih ada yang membeli tetapi tidak sebanyak sebelum pandemik...saya fikir kerana kebanyakan mereka lebih suka memesan makanan secara dalam talian berbanding memasak dan juga kerana susah nak dapat parkir di sini,“ katanya. -Bernama



