TANJONG MALIM – Masjid Al-Hidayah, Bandar Behrang 2020 dengan kerjasama Tabung Haji Negeri Perak akan menganjurkan Tabung Haji Open Day 2026 pada 14 November ini bagi menyediakan pelbagai perkhidmatan, aktiviti komuniti dan peluang mendapatkan maklumat berkaitan pengurusan haji.
Program yang berlangsung dari 7.30 pagi hingga 2 petang itu merupakan kerjasama julung kali antara masjid berkenaan dengan Tabung Haji Negeri Perak.
Pengerusi Masjid Al-Hidayah Kamarul Beharim Lasa berkata program berkenaan terbuka kepada penduduk setempat, khususnya di daerah Muallim, serta orang ramai yang ingin menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.
Beliau berkata antara pengisian program termasuk solat hajat, bacaan Yasin, sesi motivasi untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), larian santai, Jualan Rahmah, kempen derma darah dan pemeriksaan kesihatan.
Turut diadakan pertandingan azan dan pertandingan gubahan bagi memeriahkan program yang turut mengetengahkan penglibatan komuniti setempat.
Menurutnya, lebih 15 agensi kerajaan dan swasta akan menyertai program itu menerusi pameran serta penyediaan perkhidmatan, antaranya Tabung Haji Negeri Perak, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Majlis Daerah Tanjong Malim, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penyedia perkhidmatan takaful.
Kamarul Beharim berkata Masjid Al-Hidayah yang terletak di Bandar Behrang 2020 itu, yang turut dikenali sebagai Masjid Biru dan terletak di laluan Tanjong Malim-Slim River, sebelum ini aktif menganjurkan pelbagai program bersama agensi serta institusi pendidikan bagi memberi manfaat kepada masyarakat.
Antara rakan kerjasama masjid itu antaranya termasuk Jabatan Agama Islam Perak, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Jabatan Perpaduan Negeri Perak, Politeknik Sultan Azlan Shah, Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation serta Bank Rakyat.
“Kami amat mengalu-alukan mana-mana institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan swasta untuk bekerjasama menjayakan program di Masjid Al-Hidayah,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Tabung Haji Cawangan Tanjong Malim Wan Salina Ahasan berkata program seumpama itu sebelum ini pernah dianjurkan di Ipoh.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan masjid atas kesediaan bekerjasama menjayakan program berkenaan.
Bazli Razak (bazli.razak@upsi.edu.my) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!
Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.
.jpg)

