amree12/11/2026 - 09:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Nov — Pemindahan aset Lembaga Tabung Haji (TH) kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) pada 2018 menyumbang komponen terbesar kerugian keseluruhan RM13 bilion yang direkodkan institusi itu, dengan perbezaan nilai pemindahan dan nilai pasaran mencecah RM10.2 bilion.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata, secara umumnya kerugian berkenaan merangkumi dua komponen utama iaitu premium pemindahan aset TH kepada UJSB bernilai RM19.9 bilion berbanding nilai pasaran RM9.7 bilion, serta kerugian bersih pelaburan TH bagi tempoh 2018 hingga 2025.
Menurutnya, kerugian bersih pelaburan yang kekal di bawah pengurusan TH pula dianggarkan sebanyak RM2.8 bilion, berdasarkan penilaian terhadap pelaburan bermasalah yang dikenal pasti dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.
Berdasarkan laporan itu katanya, sebanyak 14 pelaburan TH didapati bermasalah, dengan tujuh daripadanya mengalami kerugian sepenuhnya dan sudah dirosot nilaikan secara sepenuhnya, yang membabitkan nilai pelaburan RM2.58 bilion.
Tujuh pelaburan berkenaan ialah Putrajaya Perdana Berhad (PPB) dengan kerugian RM193.49 juta, Al-Rawda Real Estates (RM1.86 bilion), Trurich Resources Sdn Bhd (RM364.31 juta), Emrail Sdn Bhd (RM19.3 juta), Wellspring Worldwide Ltd (RM18.4 juta), Abraj Sdn Bhd (RM40.23 juta) dan Al-Fareeda Residential Fund (RM82 juta).
"TH Marine Holding (L) Inc, merekodkan kerugian RM198.10 juta selepas mengalami rosot nilai sebahagian, menjadikan jumlah kerugian pelaburan TH dianggarkan RM2.8 bilion," kata MOF dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) di Parlimen.

Tambahnya, TH turut melaksanakan pelbagai langkah pemulihan bagi melindungi kepentingan pendeposit dan mendapatkan semula dana, dengan sebahagian pelaburan berjaya dipulihkan manakala usaha terhadap pelaburan lain pula masih lagi diteruskan.
Enam lagi pelaburan yang disenaraikan dalam laporan RCI ialah PT TH Indo Plantations, Deru Semangat Sdn Bhd, TH Plantations Berhad, TH Properties Sdn Bhd, TH Hotel & Residences Sdn Bhd serta saham FGV Holdings Berhad.
Ujar MOF, isu utama yang dikenal pasti membabitkan kelemahan tadbir urus serius sehingga menyebabkan urus niaga dilakukan secara tidak wajar, termasuk tindakan yang membelakangkan kepentingan pendeposit dan memberikan kelebihan kepada pihak lain yang berurus niaga.
Berhubung permintaan pecahan kerugian, hasil pelupusan, dividen dan pendapatan bagi setiap pelaburan sejak penerbitan laporan RCI, kementerian berkata, angka itu perlu diselaraskan berdasarkan tempoh transaksi dan asas perakaunan yang sama bagi mengelakkan pengiraan berganda, termasuk hasil transaksi terdahulu, pembalikan rosot nilai dan penerimaan tunai.
Kementerian menegaskan kerajaan akan terus memperkukuh tadbir urus, pengurusan risiko dan pemantauan pelaburan TH, termasuk melalui pindaan Akta Tabung Haji 1955 [Akta 535], bagi memastikan kepentingan pendeposit terus dilindungi. - DagangNews.com






