
Pernah tak anda masuk ke sebuah bilik, kemudian tiba-tiba lupa nak buat apa atau tak ingat tujuan asal anda datang?
Situasi ini memang biasa berlaku, dan sebenarnya ada penjelasan menarik tentang bagaimana otak menyusun pengalaman seharian kita.
Otak Sedang Menukar ‘Bab’
Menurut kajian psikologi, otak manusia cenderung membahagikan pengalaman kepada beberapa peristiwa berdasarkan perubahan dalam persekitaran.
Apabila kita bergerak dari satu ruang ke ruang lain, perubahan lokasi boleh bertindak seperti sempadan yang menandakan satu peristiwa sudah berakhir.
Dalam keadaan tertentu, maklumat daripada peristiwa sebelumnya menjadi lebih sukar untuk dicapai selepas kita memasuki persekitaran baharu.
Sebab itu, niat yang masih bermain dalam kepala beberapa saat sebelumnya boleh terasa seperti tiba-tiba hilang sebaik sahaja kita melangkah masuk.
Masuk Bilik Lupa Nak Buat Apa

Fenomena ini sering dipanggil doorway effect, atau kesan pintu, walaupun sebenarnya perubahan konteks lebih penting daripada pintu itu sendiri.
Kajian awal oleh penyelidik Universiti Notre Dame mendapati peserta lebih mudah terlupa maklumat selepas bergerak melalui pintu berbanding bergerak pada jarak sama.
Penemuan tersebut kemudiannya disokong melalui beberapa eksperimen lain yang mengaitkan perubahan lokasi dengan proses kemas kini maklumat dalam ingatan.
Tetapi Pintu Bukan Punca Utama
Namun begitu, jangan pula salahkan pintu rumah kerana kajian lebih baharu menunjukkan kesan tersebut tidak semestinya berlaku setiap kali kita melintasi sesuatu sempadan.
Kajian yang diterbitkan dalam BMC Psychology pada 2021 tidak menemui kesan pintu yang ketara terhadap lupa dalam beberapa eksperimen terkawal.
Penyelidik bagaimanapun mendapati memori boleh menjadi lebih terdedah kepada gangguan apabila peserta perlu menggunakan banyak kapasiti ingatan ketika bergerak.
Malah, kajian terbaharu yang diterbitkan pada 2026 mendapati struktur peristiwa boleh membantu mengatur maklumat, walaupun manfaat tersebut mungkin tidak bertahan lama.
Ini menunjukkan masalahnya bukan sekadar kerana kita melangkah melalui pintu, sebaliknya otak sedang mengemas kini konteks dan mengurus maklumat baharu.
"Jujur, Rasa Dihargai Banget" - Lelaki Indonesia Berterima Kasih, Akui Malaysia Bijak Dalam Hal Ini
Pernah Tertanya-Tanya Kenapa Kebanyakan Kapal Terbang Berwarna Putih? Ini Sebabnya
Jadi, Kenapa Boleh Terus Lupa?
Perkara itu menjadi lebih mudah berlaku apabila perhatian kita sudah terbahagi kepada banyak perkara sebelum memasuki bilik tersebut.
Menurut pakar psikologi Daniel Schacter, lupa akibat gangguan perhatian boleh berlaku apabila sesuatu maklumat tidak diberikan perhatian secukupnya ketika mula-mula cuba mengingatinya.
Jadi, kalau anda masuk dapur untuk mengambil air tetapi tiba-tiba teringat mesej, telefon atau kerja lain, perhatian boleh berubah dengan pantas.
Akhirnya, anda berdiri di tengah dapur sambil cuba mengingat semula perkara yang beberapa saat lalu terasa begitu jelas.
Pendek kata, lain kali perkara ini berlaku, jangan terus anggap memori anda semakin teruk kerana otak mungkin cuma sedang bertukar konteks.
Dan kalau masih tak ingat, cuba kembali ke tempat asal atau fikirkan perkara yang sedang anda lakukan sebelum bergerak.
Kadangkala, otak bukan benar-benar membuang ingatan itu, sebaliknya kita cuma kehilangan petunjuk yang membantu mengeluarkannya semula.






