Matrade bawa 50 syarikat F&B tempatan kuasai pasaran Asia Tengah

Business & Finance
9 Nov 2026 • 3:14 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Matrade bawa 50 syarikat F&B tempatan kuasai pasaran Asia Tengah

PETALING JAYA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menyelaraskan penyertaan hampir 50 syarikat makanan dan minuman (F&B) tempatan merangkumi perusahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk meneroka peluang pasaran baharu di rantau Eurasia.

Penyertaan sulung Malaysia pada Pameran Industri Makanan Antarabangsa Asia Tengah (FoodExpo Qazaqstan) 2026 itu dijadualkan berlangsung di Pusat Pameran Antarabangsa Atakent di Almaty, Kazakhstan dari 11 hingga 13 November ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Abu Bakar Yusof berkata, pembabitan puluhan syarikat tempatan itu menandakan langkah penting dalam memperkukuh eksport F&B di Asia Tengah yang mempunyai kepadatan pasaran seramai 80 juta penduduk.

“Dengan nilai ekonomi Kazakhstan dianggarkan sekitar AS306 bilion (RM1.35 trilion) dan jualan runcit mencecah AS25.7 bilion (RM113.6 bilion) bagi tempoh tujuh bulan pertama 2026, pasaran ini menawarkan landskap menarik untuk perniagaan Malaysia.

“Sektor makanan menyumbang 32.3 peratus daripada jumlah jualan runcit dalam tempoh tersebut, manakala pengeluaran makanan tempatan meningkat 14.7 peratus berbanding tahun lalu kepada AS$1.5 bilion (RM6.63 bilion) pada separuh pertama 2026.

“Perkembangan ini membuka peluang bukan sahaja untuk produk makanan pengguna tetapi juga bahan mentah serta rantaian bekalan berkaitan,” katanya dalam kenyataan.

Inisiatif itu turut mendapat kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), SME Bank, Konsortium Syarikat Peringkat Pertengahan Malaysia (MCMTC) serta Kedutaan Besar Malaysia di Kazakhstan.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, perdagangan dua hala Malaysia-Kazakhstan berkembang 58.9 peratus pada 2025 kepada RM1.02 bilion, dengan eksport Malaysia meningkat 37.7 peratus kepada RM726.7 juta.

“Selain Kazakhstan, Matrade berhasrat memposisikan syarikat tempatan sebagai pembekal berdaya saing bagi produk F&B patuh halal, minyak sawit dan produk berasaskan sawit, bahan khusus, barangan pengguna bernilai tambah serta perkhidmatan francais makanan di seluruh rantau Eurasia,” katanya. 

Delegasi Malaysia juga akan menyertai Forum Perniagaan Malaysia-Kazakhstan anjuran Matrade bersama Kedutaan Besar Malaysia dan Dewan Usahawan Kebangsaan Kazakhstan (Atameken) bagi memahami persekitaran perniagaan serta kerangka kawal selia Kesatuan Ekonomi Eurasia (EAEU).

Program perniagaan itu turut dilengkapkan dengan lawatan pasaran berfokus ke rangkaian peruncit terkemuka, pengeluar makanan dan pengendali industri tempatan di Kazakhstan bagi mengenal pasti peluang kerjasama komersial. – UTUSAN

The post Matrade bawa 50 syarikat F&B tempatan kuasai pasaran Asia Tengah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved