
BESUT: Sifat ceria, peramah dan mudah berkawan menyebabkan pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan ketika menyertai konvoi motosikal hari ini, meninggalkan kenangan mendalam dalam kalangan keluarga dan rakan-rakan mereka.
Mohd. Zamri Mohd. Zaki, 41, sebelum ini dikatakan sering mengikuti konvoi bersama rakan dan kali ini Allahyarham membawa bersama isterinya, Norlyana Ismail, 45, untuk ke Kuala Perlis di Perlis.
Bapa saudaranya, Mohd. Faiz Abdul Rahman, 44, berkata, dia kali terakhir bertemu dengan Mohd. Zamri empat hari lalu ketika terserempak di kampung mereka di Kampung Mengabang Telong, Batu Rakit.
Katanya, Allahyarham Mohd. Zamri merupakan seorang yang ceria dan mudah berkawan dengan sesiapa sahaja.
“Allahyarham memang seorang yang peramah dan mudah mesra dengan orang. Tidak sangka pertemuan beberapa hari lalu menjadi pertemuan terakhir kami. Saya hanya mengetahui mengenai kemalangan itu melalui kumpulan WhatsApp keluarga sebelum bergegas ke hospital,” katanya hari ini.
Pasangan itu meninggalkan dua anak perempuan dan lelaki masing-masing berusia 17 tahun dan 19 tahun. Jenazah kedua-dua mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mengabang Telong, Batu Rakit selepas solat Isyak, malam ini.
Terdahulu, pasangan suami isteri berkenaan dilaporkan maut selepas motosikal ditunggang mereka terlibat kemalangan dengan empat buah kenderaan termasuk sebuah lori ketika dalam perjalanan konvoi ke Kuala Perlis, hari ini.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Rozaime Ab Rahim berkata, nahas berlaku kira-kira pukul 9.45 pagi di Kampung Gong Kedak, di sini menyebabkan Mohd. Zamri dan Norlyana maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Katanya, kemalangan itu turut melibatkan dua buah lagi motosikal daripada kumpulan konvoi sama dan tiga mangsa berusia 50 hingga 51 tahun yang cedera dihantar ke Hospital Besut untuk tindakan lanjut. – UTUSAN
The post Maut konvoi: Pertemuan empat hari lalu jadi kenangan terakhir appeared first on Utusan Malaysia.






