
PETALING JAYA – “Abang dipercayai ditikam tiga kali di bahagian perut, bahu dan tangan sebelum disahkan meninggal dunia”.
Demikian kata adik kepada Allahyarham Ahmad Shah, 26, yang maut selepas dipercayai ditikam dalam pergaduhan membabitkan sekumpulan individu di Eumseong, Korea Selatan, semalam.
Menurut Ain Sephia Fabian, 25, abangnya yang bekerja di sebuah kilang di Korea Selatan sejak 2019 baru mendirikan rumah tangga dengan isterinya, Nurcahaya Ruslan pada April lalu.
Kata Ain, keluarganya mengetahui mengenai berita duka itu selepas menerima panggilan daripada kakak iparnya awal pagi semalam.
“Pada mulanya kakak ipar hubungi saya kira-kira pukul 1.40 pagi, tetapi saya tak perasan. Lepas itu mak pula telefon beritahu abang kena tikam. Saya terus hubungi kakak ipar dan dia beritahu abang sudah tiada,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Menceritakan mengenai kejadian, Ain berkata, arwah menerima panggilan daripada rakannya yang memaklumkan berlaku pergaduhan dan meminta bantuan.
“Masa itu abang tengah tidur. Tiba-tiba dia dapat panggilan daripada kawan baik dia, minta tolong sebab berlaku pergaduhan. Abang terus pergi dan kakak ipar pun ikut sekali.
“Tak sangka bila sampai di lokasi, abang pula yang menjadi mangsa,” ujarnya sebak.
Ain berkata, kehilangan abang sulung daripada tiga beradik itu amat dirasai seluruh keluarga.
“Ibu paling terkesan sebab abang memang paling rapat dengan dia. Kami masih terkejut dan sedih, tetapi dalam masa sama reda dengan ketentuan ini,” ujarnya.
Mengulas mengenai peribadi arwah, Ain berkata, abangnya dikenali sebagai seorang yang peramah, mudah didekati dan sering membantu orang lain.
“Dia memang ‘happy go lucky’ (periang). Pergi mana-mana pun orang suka dia sebab dia baik sangat. Sebab itu bila kawan minta tolong, dia terus pergi,” jelasnya.
Menurut Ain, kali terakhir dia bertemu arwah ialah pada 2023 ketika mangsa pulang ke Malaysia bagi menghadiri majlis perkahwinan adiknya.
“Abang memang ada rancang nak balik lagi Disember ini. Kami sekeluarga juga bercadang menunaikan umrah bersama pada Januari tahun depan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seorang rakyat Malaysia maut dalam pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki di daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, Korea Selatan.
Susulan kejadian itu, pihak berkuasa menahan seorang lelaki warga Malaysia berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE
The post Maut Korea: Abang baru kahwin April lalu, tak sangka jadi mangsa appeared first on Kosmo Digital.






