
GOMBAK – Hasrat Allahyarham Ahmad Shah Ahmad Ros, 26, untuk membawa pulang isterinya bertemu keluarga tidak kesampaian apabila dia maut ditikam ketika cuba membantu seorang rakannya yang dipukul sekumpulan individu di daerah Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, Korea Selatan, semalam.
Ibu mangsa Zulfah Fadliani, 47, arwah yang baharu berkahwin di Korea Selatan pada April lalu, merancang untuk pulang ke Malaysia hujung tahun ini bagi memperkenalkan isterinya, Nurcahaya Ruslan, 30, kepada keluarga.
Katanya, anak sulungnya itu juga bercadang menyelesaikan segala urusan kerjanya di Korea Selatan sebelum pulang menetap di Malaysia.
“Dia memang nak balik Disember ini. Dia selalu cakap nak bawa isteri jumpa kami semua dan buat majlis doa selamat sebab mereka bernikah di sana. Tapi hasrat itu tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Bandar Tasik Puteri, Rawang di sini hari ini.
Menurut Zulfah, ketika kejadian kira-kira pukul 9 malam Sabtu (waktu Korea Selatan), Ahmad Shah berada di rumah bersama isterinya sebelum menerima panggilan daripada seorang rakan yang meminta pertolongan selepas berlaku pergaduhan.
Katanya, kerana sifat suka membantu yang dimiliki anak sulungnya itu, Ahmad Shah bersama isterinya terus menuju ke lokasi kejadian.
“Anak saya terus keluar bersama isterinya ke lokasi sebab nak bantu kawannya yang sedang dipukul. Dia memang macam itu, kalau orang minta tolong dia akan pergi.
“Bila sampai di sana, dia cuba meleraikan pergaduhan. Tetapi secara tiba-tiba seorang lelaki menikamnya sebelum melarikan diri,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Bandar Tasik Puteri di sini hari ini.
Zulfah berkata, Ahmad Shah mengalami kecederaan parah selepas ditikam beberapa kali pada bahagian badan termasuk perut sehingga kehilangan banyak darah sebelum dikejarkan ke hospital.
Katanya, dia menerima panggilan daripada menantunya kira-kira pukul 1.30 pagi Ahad (waktu tempatan) memaklumkan Ahmad Shah cedera parah akibat ditikam sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pukul 3.30 pagi (waktu tempatan).
Menurut Zulfah, Allahyarham yang bekerja di sebuah kilang di Korea Selatan sejak 2019 sememangnya dikenali sebagai seorang anak yang bertanggungjawab dan tidak pernah melupakan keluarga walaupun berada di perantauan.
“Dia sanggup bersusah payah untuk keluarga. Dia selalu cakap dia nak senangkan mama dan ayah. Kawan-kawan dia di Korea pun semua sayang dia sebab dia memang suka membantu orang,” ujarnya.
Sementara itu, bapa mangsa, Ahmad Ros Abidin berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi sehingga menimbulkan persepsi bahawa anaknya terbabit dalam pergaduhan.
“Anak saya bukan orang yang suka bergaduh. Dia seorang anak yang baik dan sentiasa membantu keluarga. Malah, dia pernah menghadiahkan saya sebuah kereta hasil titik peluhnya bekerja di sana,” jelasnya.
Katanya, dia juga berhasrat untuk mengeluarkan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membawa seluruh ahli keluarga, termasuk Allahyarham dan isterinya, menunaikan ibadah umrah pada hujung tahun ini. – KOSMO! ONLINE
The post Maut Korea: Hasrat Ahmad Shah bawa isteri jumpa keluarga tidak kesampaian appeared first on Kosmo Digital.




![[VIDEO] ‘Saya cuma mahu lihat jenazah anak saya buat kali terakhir’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/WhatsApp-Image-2026-07-27-at-3.44.28-PM-1024x768.jpeg)

