![Image from: [VIDEO] ‘Saya cuma mahu lihat jenazah anak saya buat kali terakhir’](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/WhatsApp-Image-2026-07-27-at-3.44.28-PM-1024x768.jpeg)
GOMBAK – Keluarga mangsa yang maut ditikam di Korea Selatan, semalam merayu agar pihak Kedutaan Malaysia di Korea Selatan membantu mempercepatkan proses membawa pulang jenazah Allahyarham Ahmad Shah ke tanah air bagi membolehkan pengebumian dilakukan secepat mungkin.
Ibu mangsa Zulfah Fadliani, 47, berkata, harapan keluarganya ketika ini agar segala urusan dokumentasi dan pelepasan jenazah dapat dipermudahkan.
“Saya berharap pihak kedutaan dapat membantu mempercepatkan urusan membawa pulang jenazah anak saya ke Malaysia dengan selamat.
“Itu sahaja harapan saya. Jangan dipersulitkan urusan ini. Saya cuma mahu melihat jenazah anak saya buat kali terakhir sebelum dikebumikan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Bandar Tasik Puteri, Rawang, di sini hari ini.
Menurut Zulfah, kali terakhir dia bercakap dengan anaknya adalah pada petang sebelum kejadian ketika mangsa sedang bekerja di sebuah kilang.
“Saya tanya dia, mama telefon mengganggu abang bekerja ke? Dia jawab, tak apa mama, mama rindu saja kan.
“Bila nak letak telefon, dia sempat pesan kepada saya supaya menjaga kesihatan. Dia kata, mama jangan risau. Abang anak lelaki. Selagi abang hidup, abang akan jaga mama,” ujarnya.
Zulfah berkata, dia bagaimanapun tidak menyangka apabila dikejutkan dengan panggilan telefon daripada menantunya, Nurcahaya Ruslam, 30, memaklumkan anaknya cedera parah akibat ditikam sebelum dibawa ke hospital.
“Pada mulanya saya dimaklumkan dia masih dirawat di hospital. Saya hanya mampu berdoa supaya Allah permudahkan urusan anak saya.
“Tidak lama kemudian saya dimaklumkan dia sudah tiada. Masa itu saya memang tidak mampu berkata apa-apa,” katanya sambil menahan sebak.
Mangsa berusia 26 tahun itu dilaporkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di bahagian perut akibat ditikam dalam kejadian di Korea Selatan, semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa dipercayai cuba membantu rakan yang diserang sekumpulan individu.
Difahamkan, jenazah mangsa kini masih berada di Korea Selatan sementara menunggu proses dokumentasi dan pelepasan daripada pihak berkuasa sebelum dibawa pulang ke Malaysia.
Sementara itu, Zulfah turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk rakyat Malaysia yang menghulurkan bantuan bagi memudahkan urusan membawa pulang jenazah anaknya.
“Saya berterima kasih kepada semua yang membantu anak saya. Saya tak sangka secepat ini dana dapat dikumpul sehingga RM80,000. Semoga Allah membalas segala kebaikan mereka dan mempermudahkan urusan membawa pulang jenazahnya ke Malaysia,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE
View this post on Instagram
The post [VIDEO] ‘Saya cuma mahu lihat jenazah anak saya buat kali terakhir’ appeared first on Kosmo Digital.






