
RAWANG: Ibu kepada Allahyarham Ahmad Shah Ahmad Ros, 26, yang maut akibat ditikam di Korea Selatan hanya mampu menyaksikan detik terakhir anaknya menghembus nafas terakhir menerusi panggilan video daripada menantunya.
Zulfah Fadliani, 47, berkata, dia menerima panggilan video dari menantunya, Nurcahaya Ruslan, 30, ketika menerima rawatan di hospital selepas parah ditikam oleh seorang individu dalam satu kejadian pergaduhan di sebuah jalan di Daeso-eup, Daerah Eumseong, Korea Selatan.
Bagaimanapun, katanya, Ahmad Shah disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 3.30 pagi waktu tempatan.
Katanya, pada awalnya, anaknya telah dihubungi oleh rakannya kerana diserang sekumpulan individu sebelum dia tiba di lokasi bersama isteri.
“Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam (waktu Korea), dia sedang berada di rumah bersama isteri sebelum dihubungi oleh seorang rakan juga rakyat Malaysia.
“Menantu saya (Nurcahaya) yang mengikuti Ahmad Shah ke lokasi memberitahu, ketika cuba meleraikan pergaduhan, anak saya secara tiba-tiba ditikam oleh seorang lelaki dengan pisau sebelum dia melarikan diri secara tiba-tiba,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga mangsa di Bandar Tasik Puteri, Rawang, hari ini.
Zulfah berkata, anaknya itu mengalami kecederaan serius lepas ditikam pada bahagian perut hingga menyebabkan kehilangan darah sebelum mereka membawanya ke hospital.
Dalam pada itu, Zulfah dan suami meminta mana-mana pihak untuk tidak menyebarkan sebarang spekulasi tidak benar mengenai kejadian yang menimpa anaknya.
Dia juga berharap agar pihak berkuasa di Korea Selatan, dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku pembunuhan anaknya. – UTUSAN
The post ‘Saya hanya sempat lihat anak melalui panggilan video’ appeared first on Utusan Malaysia.



![[VIDEO] ‘Saya cuma mahu lihat jenazah anak saya buat kali terakhir’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/WhatsApp-Image-2026-07-27-at-3.44.28-PM-1024x768.jpeg)

