Maut renjatan elektrik: Jenazah tiga anggota polis diterbangkan pulang ke kampung halaman

7 Aug 2026 • 9:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Maut renjatan elektrik: Jenazah tiga anggota polis diterbangkan pulang ke kampung halaman
Balu Allahyarham Koperal Mohamad Nur Hafiz, Fatimah Shahira (kanan) bersama anaknya mengiringi jenazah suaminya menerusi penerbangan ihsan TUDM dari Terminal Dua Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ke Kuantan, Pahang pada Jumaat.

KOTA KINABALU - Penghantaran pulang jenazah anggota polis yang maut akibat renjatan elektrik di Beaufort dilaksanakan malam ini menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tinjauan Bernama mendapati pesawat TUDM membawa jenazah Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini jam 7.10 malam pada Jumaat. 

Pesawat itu dijadual menuju ke Pangkalan Udara TUDM di Kuantan, Pahang sebelum meneruskan penerbangan ke Pangkalan Udara TUDM di Gong Kedak, Terengganu.

Jenazah seorang lagi yang terkorban dalam tragedi itu Koperal Chiu Teck Siong dibawa ke Lapangan Terbang PGU PDRM di sini sebelum diterbangkan pesawat pasukan itu ke Sarawak.

Ketiga-tiga jenazah itu terdahulu selesai menjalani proses bedah siasat pada 12 tengah hari sebelum dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth kira-kira 2.56 petang bagi proses penghantaran pulang ke kampung halaman masing-masing malam ini.

Chiu, 40, berasal dari Sarawak, Mohamad Nur Hafiz, 29, dari Kelantan dan Muhammad Raimi, 26, dari Terengganu meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di luar Balai Polis Weston, Beaufort pada jam 5.50 petang pada Khamis. - Bernama 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved