3 polis maut: Jenazah akan dibawa pulang selepas bedah siasat

7 Aug 2026 • 8:25 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 3 polis maut: Jenazah akan dibawa pulang selepas bedah siasat

BEAUFORT – Jenazah tiga anggota polis yang terkorban dipercayai akibat renjatan elektrik ketika mengait buah kelapa di Jalan Weston, Kampung Weston di sini akan dibawa pulang ke negeri asal masing-masing selepas selesai menjalani bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, ketiga-tiga mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu bagi melengkapkan proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada waris.

Menurut beliau, Koperal Chiu Teck Siong, 40, berasal dari Sarawak, manakala Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26, dari Kelantan dan Terengganu.

“Selepas semua urusan dokumentasi selesai, jenazah akan diiringi pegawai daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort sehingga ke kampung halaman masing-masing,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Mengulas insiden itu, Champin berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga anggota Balai Polis Weston terbabit sedang menggunakan galah besi sepanjang kira-kira 29 kaki untuk mengait buah kelapa.

Beliau berkata, sebaik selesai mengait buah kelapa dan cuba mengalihkan galah berkenaan, salah seorang mangsa dipercayai hilang imbangan sehingga galah itu terkena kabel elektrik utama milik Sabah Electricity.

“Arus elektrik kemudian mengalir ke galah besi tersebut sebelum merentap ketiga-tiga mangsa.

“Selain itu, keadaan tanah gambut yang lembap serta terdapat air bertakung di lokasi kejadian dipercayai turut menyumbang kepada insiden berkenaan,” ujarnya.

Semalam, media melaporkan, tiga anggota polis maut dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Jalan Weston, Kampung Weston, Beaufort kira-kira pukul 5.56 petang.

Ketiga-tiga mangsa yang merupakan anggota Balai Polis Weston disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mangsa berusia antara 26 hingga 40 tahun itu terdiri daripada dua koperal dan seorang lans koperal. – KOSMO! ONLINE

The post 3 polis maut: Jenazah akan dibawa pulang selepas bedah siasat appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved